Agong mahu tindakan tegas pada pihak jejas perpaduan


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang cuba menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2019.

TINDAKAN tegas perlu diambil ke atas pihak yang cuba menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam ucapan semasa merasmikan pembukaan penggal kedua Parlimen ke-14 hari ini, baginda menyatakan kebimbangan penggunaan media sosial tidak bertanggjawab.

Baginda berkata tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang melalui penyebaran maklumat di media tersebut.

“Sungguh pun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang,” katanya.

Peringatan Yang di-Pertuan Agong itu timbul susulan peningkatan kes penghinaan ke atas agama Islam dan Nabi Muhammad di media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Setakat ini dua individu disabitkan kesalahan berhubung kes tersebut.

Di Kuching, seorang lelaki dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan denda RM50,000 pada Jumaat lalu kerana menghina Islam di Facebook.

Terbaru hari ini di Kuala Lumpur, seorang lagi dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan denda RM10,000 atas kesalahan serupa.

Dalam ucapannya, Sultan Abdullah seterusnya menyeru kerajaan agar menerapkan perpaduan di kalangan rakyat dengan berpandukan perlembagaan negara

“Beta menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Baginda turut menegaskan Islam diangkat sebagai agama persekutuan tapi agama lain boleh diamalkan dengan aman damai.

Al-Sultan Abdullah berkata agama Islam juga bukan hak eksklusif bagi kumpulan tertentu dan rakyat agama lain juga perlu dihormati.

“Beta percaya kedudukan Islam sebagai agama persekutuan perlu difahami dengan sedalam- dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah,” katanya.

Al-Sultan Abdullah berkata pendekatan itu perlu berdasarkan ajaran Islam sebenar dan diterjemah melalui tingkah laku dan keperibadian rakyat Malaysia yang unggul.

Pada masa sama titah baginda juga menyeru ahli Parlimen berbahas secara tertib dan berhemah.

“Beta menyeru ahli berhormat agar terus memelihara melindungi dan mempertahankan ketinggian perlembagaan persekutuan tanpa kompromi.” – 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen