PM baharu Palestin harap bentuk kerajaan menerusi rundingan


Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh menerima surat pelantikan daripada Presiden Mahmoud Abbas untuk membentuk kerajaan baharu. – Gambar EPA, 11 Mac, 2019.

PERDANA Menteri Palestin yang baharu dilantik semalam berharap untuk membentuk kerajaannya tidak lama lagi melalui rundingan beliau dengan puak-puak di Palestin selain kuasa sosial dan politik, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan rasmi Agensi Berita Palestin (WAFA).

Mohammad Shtayyeh membuat kenyataan itu sejurus selepas menerima surat pelantikan daripada Presiden Mahmoud Abbas untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya cukup sedar akan situasi yang kita lalui ketika ini daripada segi politik, ekonomi dan kewangan,” katanya.   

“Kita akan berusaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya di wilayah 1967 serta meneruskan perjuangan kita untuk mendapatkan hak untuk pulang ke tanah tumpah darah,” kata Shtayyeh.

Dalam ucapannya, perdana menteri baharu itu memuji penglibatan Abbas “dalam peperangan bagi melindungi Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa”.

Beliau juga berjanji akan berkhidmat kepada penduduk Palestin, memulihkan ketidakadilan serta mengembalikan martabat dan kehormatan mereka.

“Bukan sekadar makanan yang mampu menghidupkan manusia tetapi juga kebebasan, martabat, penghormatan diri, toleransi, kritikan membina dan semangat positif dalam menangani masalah serta kebimbangan orang ramai, terutama di Gaza, Baitulmaqdis dan Diaspora,” kata Shtayyeh.

Terdahulu, Shtayyeh yang berusia 60 tahun ditugaskan Abbas untuk membentuk kerajaan baharu Palestin bagi menggantikan bekas kerajaan konsensus Rami Hamdallah. – Bernama, 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen