Mayat 157 penumpang Ethiopian Airlines masih dicari


Sukarelawan palang merah membantu pasukan penyelamat dalam operasi mencari mayat nahas pesawat Boeing terhempas selepas berlepas dari Addis Ababa semalam. Seramai 157 penumpang dan anak kapal maut. – Gambar AFP, 11 Mac, 2019.

ETHIOPIA berkabung di seluruh negara hari ini ketika penyiasat terus mencari mayat dan petunjuk dalam nahas pesawat Boeing dalam perjalanan ke Nairobi terhempas selepas berlepas dari Addis Ababa, menyebabkan 157 penumpang dan anak kapal maut.

Ethiopian Airlines berkata ia akan bekerjasama dengan Boeing, pihak berkuasa penerbangan awam negara dan pakar antarabangsa dalam mencari punca pesawat baharu itu terhempas selepas hanya 6 minit di udara.

Lapan anak kapal dan 149 penumpang dari 35 negara maut apabila Penerbangan ET 302 terhempas di kawasan padang berhampiran kampung Tulu Fara di bandar Bishoftu, kira-kira 60km tenggara Addis Ababa.

Saksi berkata pesawat itu terhempas sambil terbakar.

Antara yang maut ialah pelancong, ahli perniagaan dan kakitangan PBB, termasuk sebahagiannya bekerja untuk Program Makanan Dunia, agensi pelarian PBB (UNHCR) dan organisasi pemindahan antarabangsa.

Pesawat Boeing 737-800MAX itu masih baharu, dihantar ke syarikat milik kerajaan Ethiopian Airways pada 15 November.

Ia jenis yang sama dengan pesawat Lion Air milik Indonesia yang terhempas pada Oktober, selepas 13 minit berlepas dari Jakarta, menyebabkan 189 terbunuh.

Ethiopian Airlines berkata pesawat itu berlepas pada 8.38 pagi Ahad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole dan terputus hubungan enam minit kemudian.

Penumpang warga Kenya paling ramai iaitu 32, diikuti Kanada (18), Ethiopia (9), Itali, China dan Amerika Syarikat masing-masing lapan. Britain dan Perancis masing-masing tujuh, Mesir (6) dan Jerman (5). – AFP, 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen