PEGUAM yang mewakili sekumpulan wanita didakwa mangsa jenayah seksual penyanyi terkenal R Kelly berkata satu pita rakaman video bintang itu mendera kanak-kanak secara seksual ditemui.
Kelly ketika ini dibebaskan dengan ikat jamin selepas dituduh mendera empat wanita, tiga daripadanya remaja secara seksual antara Mei 1998 dan Januari 2010.
Penemuan terbaru itu diumumkan peguam Gloria Allred pada sidang akhbar yang turut memberitahu, pita berkenaan ditemui pasangan Gary serta Sallie Dennis dalam kotak berisi pita video lama di rumah mereka.
Allred dan pasangan Dennis bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana pita video itu berada dalam milikan pasangan terbabit.
“Sebelum menyedari pita berkenaan ada dalam simpanan mereka, Sallie menonton sebuah dokumentari bertajuk ‘Surviving R Kelly.
“Emosinya amat terganggu dengan kenyataan semua wanita dalam dokumentari dan tidak beberapa lama kemudian, Sallie serta suaminya terkejut apabila mendapati mereka memiliki pita video yang boleh membantu semua remaja perempuan berkenaan,” katanya.
Allred berkata walaupun tidak menonton video terdahulu yang dilaporkan secara meluas di media, beliau percaya ia bukan dari rakaman sama.
Katanya, pita video kedua itu memaparkan bagaimana R Kelly mendera kanak-kanak secara seksual tetapi peguam enggan mengulas secara terperinci kejadian itu. – AFP, 11 Mac, 2019.
Komen