Datuk bandar London bantah Heathrow dibesarkan


Penggubal undang-undang Britain pada Jun lalu meluluskan perancangan yang sekian lama tertangguh untuk membina landasan ketiga di Heathrow di barat London. – Gambar EPA, 11 Mac, 2019.

Datuk Bandar London Sadiq Khan bersama aktivis kumpulan alam sekitar Greenpeace dan majlis perbandaran tempatan akan memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah hari ini bagi menghalang tindakan kerajaan untuk memperbesarkan lapangan terbang paling sibuk di Eropah, Heathrow.

“Peguam mewakili gabungan pihak berkuasa tempatan membantah perluasan Heathrow dan akan memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi hari ini untuk projek itu dibatalkan,” kata satu kenyataan bersama.

Khan, Greenpeace dan empat majlis perbandaran di ibu negara berhampiran Heathrow berkata pembinaan landasan ketiga hanya boleh dilakukan dengan meruntuhkan ribuan kediaman, sekali gus menjadikan suasana lebih bising dan tidak sihat untuk jutaan penduduk yang menetap di London dan kawasan sekitar.

Pengarah Eksekutif Greenpeace United Kingdom (UK) John Sauven dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sering melaungkan hasrat untuk menjaga kualiti udara dan cuaca namun pada hakikatnya, ia hanya dilaksanakan apabila tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Empat majlis perbandaran terbabit ke mahkamah hari ini terdiri daripada Hillingdon, Wandsworth, Hammersmith & Fulham serta Richmond upon Thames, semuanya di barat London.

Mereka turut disertai wakil majlis perbandaran berhampiran, Windsor dan Maidenhead, kawasan yang menempatkan kediaman Diraja, Istana Windsor, sekolah berprestij tinggi Eton dan kerusi Parlimen Perdana Menteri Theresa May.

Penggubal undang-undang Britain pada Jun lalu meluluskan perancangan yang sekian lama tertangguh untuk membina landasan ketiga di Heathrow di barat London selepas hampir sedekad berdebat mengenai potensi impak projek.

Kerajaan konservatif pimpinan May mendakwa, perancangan bernilai 14 bilion pound (RM74.2 bilion) itu akan memberi suntikan utama terhadap ekonomi Britain dan mewujudkan 114,000 peluang pekerjaan menjelang 2030. – AFP, 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen