IA semata-mata helah politik yang bertujuan menjejaskan kestabilan Malaysia, kata Menteri Kanan Kabinet Nazri Aziz mengenai saman sivil Amerika Syarikat (AS) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Nazri, bekas menteri undang-undang, percaya tiada bukti yang mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak, yang dipanggil “kawan baik” beliau, terhadap saman atau istilah “Malaysian Official No.1” (MO1).
Ini bertentangan dengan kenyataan rakan Kabinetnya Abdul Rahman Dahlan pada Julai tahun lepas yang mengakui MO1 dimaksudkan adalah Najib.
Nazri juga mempertahankan RM2.6 bilion sumbangan daripada keluarga diraja Arab untuk membiayai kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada 2013, berkata Arab mempunyai kepentingan bagi memastikan Najib terus berkuasa.
Nazri berhujah AS cenderung untuk melemahkan Malaysia melalui saman Jabatan Keadilan (DoJ) AS walaupun presiden pada masa itu, Barrack Obama, mempunyai hubungan baik dengan Najib.
Kedua-duanya pernah bermain golf bersama pada 2014, manakala Obama melawat Malaysia dua kali sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight di luar Dewan Rakyat, Nazri berkata ini adalah fakta yang akan diketengahkan jika perbahasan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berlangsung esok.
Dr Mahathir, yang kini merupakan pengerusi parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dijadualkan berdebat dengan Nazri tetapi polis menghalang acara itu daripada berlangsung.
Di bawah ini adalah petikan temu bual itu.
S: Jika Dr Mahathir bertanya semasa perdebatan mengenai saman DoJ, apa jawapan anda?
J: Pertama sekali, saman DoJ penuh dengan tuduhan, tetapi ia tidak sampai kepada perbicaraan di mahkamah terbuka. Ia tidak diperdengarkan dan tiada keputusan.
Sebagai contoh, saya memfailkan sesuatu terhadap anda, mendakwa anda berhutang RM1 juta. Dan kemudian saya menjadikannya diketahui umum. Adakah ini bermakna anda bersalah?
Saya hanya mendakwa. Tiada pendengaran lagi. Ia perlu ke mahkamah terbuka, hakim perlu membuat keputusan. Hanya selepas itu barulah ia akan menjadi suatu kesalahan, jika mahkamah mendapati beliau bersalah. Ia hanya pada peringkat ini. Jadi bagaimana Najib boleh dikatakan bersalah?
Nombor dua, jika DoJ yakin Najib bersalah mengapa ia tidak menamakan Najib terus? Mengapa meletakkan hanya MO1. Defendan lain dinamakan. Letaklah nama terus Najib.
Mereka tidak berani berbuat demikian kerana tidak ada bukti terhadap Najib. Kerana jika mereka menamakan Najib Razak yang juga perdana menteri, Najib boleh menyaman mereka berbilion-bilion.
Jadi sudah ada mala fide kerana meletakkan MO1. Niat jahat untuk mengaitkan Najib dengan sesuatu yang tidak mempunyai bukti. Saya amat pasti jika mereka mempunyai bukti, mereka akan menamakan Najib Razak.
S: Bagaimana pula dengan dakwaan wang itu masuk ke dalam akaun MO1 dimaksudkan?
J: Lupakan dakwaan itu. Kita mahu bercakap tentang MO1, mengapa Najib perlu menjawab. MO1 bukan beliau. MO1 bukan Najib. Jika saya jadi beliau, saya juga tidak akan menjawab.
Anda mahu Najib Razak menjawab, anda mesti menamakan Najib Razak.
Sebab ketiga saya, peguam negara yang memfailkan saman itu sudah meninggalkan jawatannya selepas Presiden Donald Trump berkuat kuasa. Timbalan juga dipecat oleh Trump. Jadi apa yang tinggal? Ia tidak akan ke mana-mana.
Bagi saya ia adalah satu agenda politik dan mereka mahu memalukan Najib. Itu sahaja. Itulah DoJ.
S: Mengapa mereka mahu memalukan Najib?
J: Saya tidak tahu, anda tanya kepada mereka.
S: Obama kononnya rapat dengan Najib, kedua-duanya bermain golf bersama.
J: Ia tidak bermakna apa-apa. Boleh jadi saya juga bermain golf.
S: Tetapi ini adalah peguam negara Obama (yang memfailkan saman itu)?
J: Tetapi anda perlu tahu tidak ada gangguan di AS (antara peguam negara dan kuasa eksekutif).
S: Berbalik kepada MO1 yang tidak dinamakan dalam saman itu, menteri kabinet Abdul Rahman Dahlan mengakui MO1 merujuk kepada Najib.
J: Siapa Rahman Dahlan? Adakah beliau peguam Najib? Sesiapa pun boleh mengatakannya. Najib tidak mengatakan beliaulah orangnya. Saya pasti Rahman Dahlan dan Najib dua individu berbeza. Pengakuan beliau bukan salah Najib.
S: Jadi, mengapa Rahman Dahlan berkata ia adalah Najib?
J: Anda tanya kepadanya.
S: Rahman Dahlan adalah pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) pada masa itu (semasa beliau mengenal pasti Najib sebagai MO1)?
J: Jadi apa? Bila Najib melantik Rahman sebagai peguamnya? Anda tanya kepadanya mengapa beliau berkata begitu.
S: Sebagai bekas menteri undang-undang, adakah anda fikir ia salah dari segi moral bagi seorang perdana menteri menerima wang sebanyak ini dalam akaun peribadinya?
J: Tiada apa yang salah, walaupun dari segi moral bagi wang yang masuk ke dalam akaun peribadinya. Bagaimanapun, sumber adalah isunya. Jika ia daripada wang gelap atau hasil perbuatan rasuah.
Ia tidak pernah menjadi satu kesalahan bagi wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
S: Akta SPRM 2009, ada bahagian yang mengatakan pegawai awam menerima wang atau hadiah dianggap bersalah. Jadi itulah sebabnya kita ingin tahu. Dari mana wang itu? Adakah wang gelap atau hasil perbuatan rasuah? Kedua-dua jawapan adalah negatif.
J: Sumber wang adalah sumbangan seorang putera Saudi. Jadi ini adalah jelas. Ini disahkan menteri luar Saudi. Ia dikuatkan lagi apabila Raja Saudi datang melawat negara baru-baru ini.
Ia tidak pernah menjadi kesalahan di negara ini untuk mendapatkan derma. Ia bukan suatu kesalahan. Anda tidak perlu memberitahu pihak polis.
S: Dan wang itu datang tanpa syarat?
J: Anda perlu bertanya kepada diri sendiri apa yang perlu diraja Saudi lakukan untuk merasuah kita sehingga mereka memberi RM2.6 bilion? Mengapa Arab Saudi perlu merasuah kita? Saya rasa kita perlu merasuah mereka berhubung kuota haji.
Mereka adalah salah satu negara terkaya di dunia, mereka mempunyai pendapatan berjuta sehari daripada minyak. Apa projek yang mereka perlukan daripada kami? Mereka adalah sebuah negara yang sangat, sangat, sangat kaya. Kita perlu lebih banyak benda daripada mereka.
Logiknya, kita harus memberi rasuah kepada mereka. Saya tidak fikir ada sebarang syarat.
S: Jadi apa tujuan derma itu?
J: Untuk pilihan raya umum. Semua orang tahu perkara itu. Ia adalah fakta. Sebagai pengerusi BN, adalah wajib baginya membawa wang kerana anda perlu berbelanja.
Anda kira, kita bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.
(Pegawai Nazri mengambil telefon tangan untuk mengira jumlah).
Bagi setiap kerusi Parlimen kita perlu RM10,000 sebagai deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk meletakkan calon. Untuk kerusi negeri, RM5,000. Kemudian RM200,000 dana berkempen bagi setiap kerusi Parlimen.
Jadi, anda darabkan semuanya. Ia kira-kira RM99.26 juta. Inilah yang pengerusi BN perlu cari untuk pilihan raya. Sebagai pengerusi BN adalah menjadi tanggungjawab beliau mencari wang ini.
Najib sangat jujur, beliau memperoleh derma dan mendapat RM2.6 bilion. Dan dimasukkan ke dalam akaunnya. RM100 juta digunakan untuk pilihan raya. Selebihnya, sebelum pilihan raya kami ada terima wang daripada Najib, setiap cawangan Umno mendapat wang untuk membaiki sehingga lima buah rumah, RM5,000 setiap rumah.
Terdapat kira-kira 25,000 cawangan Umno di seluruh negara. Justeru, ia menelan jumlah RM625 juta bagi semua rumah ini.
Setiap pemimpin Umno bahagian menerima wang ini termasuk (bekas timbalan presiden) Muhyiddin Yassin dan (bekas naib presiden) Shafie Apdal.
Jadi, jumlah wang untuk pilihan raya kira-kira RM724 juta.
S: Ok. Tetapi Najib menerima RM2.6 bilion? Apa yang berlaku kepada baki selebihnya?
J: Beliau memulangkan bakinya, ingat? Beliau memulangkan kembali kira-kira RM2 bilion. Kalaulah Najib mengambil wang tunai itu, kita tidak akan tahu berapa banyak yang dikumpul, berapa banyak dibelanjakan dan berapa banyak dipulangkan kembali.
Tetapi kerana beliau jujur, ia masuk ke dalam akaun peribadinya supaya semua orang tahu. Kerana beliau jujur, ia masuk ke dalam akaunnya.
S: Jadi ringkasnya, anda masih mengatakan ia lebih baik wang dimasukkan ke dalam akaun beliau?
J: Ya. Ia tidak pernah bertujuan untuk Umno. Ia bertujuan untuk BN, agar BN memenangi pilihan raya.
Mengapa mereka mahu kita menang? Mereka mahu kita menang kerana kita mempunyai hubungan baik dengan mereka (Arab Saudi). Kita adalah sebuah negara Sunni yang mesra, penyokong kuat Arab Saudi. Jadi, mereka sangat gembira dengan Malaysia sebagai sebuah negara bersaudara yang dipimpin Najib. Anda dapat melihat hubungan itu rapat.
Mereka mahu Malaysia diketuai oleh Najib untuk menjamin ia sebagai negara yang mesra. Dan kita tidak pernah bertentangan pendapat dengan Arab Saudi, kita sentiasa menjadi rakan setia Saudi.
Dan jika ia dipimpin oleh Najib, mereka boleh menjamin Malaysia akan sentiasa menjadi negara yang mesra. Itulah kepentingan mereka. Dan mempunyai kepentingan di negara lain bukanlah sesuatu yang baru dan tidak diketahui.
AS melakukan perkara yang sama. Itu normal. Terutama sejak pendirian Malaysia menentang Israel sangat kuat.
S: Terdapat juga dakwaan RM2.6 bilion datang daripada diraja Saudi tetapi wang yang pergi kepada diraja Saudi akhirnya datang daripada dana daripada 1MDB.
J: Buktikan ini. Kita tidak boleh menjawab dakwaan ini tanpa fakta. Tuduhan ini bersifat keji.
S: Tuduhan ini datang daripada Wall Street Journal.
J: Wall Street Journal? Anda tidak boleh mempercayai mereka. Sama seperti DoJ. Wall Street adalah penjahat terbesar. Anda tidak boleh menetapkan apa yang ditulis oleh Wall Street sebagai fakta sebenar. Anda perlu menunjukkan fakta, bukan dakwaan semata-mata.
Saya percaya keluarga diraja Saudi lebih daripada Wall Street Journal. Lelaki itu mengakuinya. Jadi siapa kita untuk menidakkannya? Adakah itu tidak cukup baik? Raja Saudi juga melawat kami. Jadi mengapa percaya Wall Street lagi?
S: Jadi anda percaya saman DoJ adalah satu muslihat politik?
J: Oleh kerana ahli politik AS mempunyai pandangan sangat negatif terhadap apa yang sedang berlaku di Malaysia. Malah semasa zaman Dr Mahathir mereka membuatkan (bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim) Anwar melawan Dr Mahathir. Ia sudah wujud untuk masa yang lama.
Mungkin kerana kita adalah satu-satunya negara di dunia di mana penduduknya pelbagai kaum dan kepimpinan adalah Islam dan negara aman dan dalam keadaan baik. Dan mereka menyangka negara Islam tidak boleh jadi seperti itu.
Anda bercakap tentang sebuah negara Islam yang sepatutnya di bawah pimpinan diktator, miskin, korup dan rusuhan. Jadi, Malaysia sebaliknya dan kita adalah musuh paling ketat Israel.
S: Tetapi pada masa Obama memerintah, beliau melawat Malaysia dua kali. Najib mempunyai hubungan baik dengannya.
J: Saya bercakap tentang persepsi umum AS. Ahli politik AS. Seorang ahli politik tidak mengubah segala-galanya.
S: Jadi anda mengatakan walaupun Obama rapat dengan Najib, ia tidak menggambarkan niat mereka?
J: Ya. Walaupun pada masa Dr Mahathir, mereka tidak sukakan kita, mereka gunakan Anwar untuk melawan kita. Mereka mahu melemahkan kita.
Ia hanya hubungan baik antara dua individu (Obama dan Najib). Mereka jujur, Obama suka Najib. Tetapi itu sahaja.
S: Jadi, anda katakan walaupun ini hubungan baik, sistem politik AS mahu melemahkan kita melalui saman ini?
J: Ya, ia bukan perkara baru. Ya, kerana kita sebaliknya. Kita berbilang kaum dan budaya, namun kepimpinan beragama Islam. Jadi mereka tidak boleh menerima hakikat ini. Kerana bagi mereka sebuah negara Islam mestilah miskin, rasuah, diskriminasi terhadap golongan minoriti. – 7 April, 2017.
Komen