BUAT kali kedua dalam tempoh kurang daripada enam bulan, pesawat Boeing 737 MAX 8 terhempas beberapa minit selepas berlepas membunuh kesemua penumpang dan anak kapal mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan pesawat model itu.
Dalam kejadian pada Ahad itu, 157 penumpang dan anak kapal pesawat 737 MAX milik Ethiopian Airlines terbunuh. Ia merupakan pesawat model yang sama terhempas di Indonesia pada Oktober, yang menyebabkan 189 orang terbunuh.
Hanya data penerbangan dan perbualan kokpit yang terdapat pada dua kotak hitam pesawat berkenaan yang boleh memberikan petunjuk punca nahas berkenaan—masalah teknikal, kecuaian juruterbang atau kedua-dua faktor berkenaan.
“Juruterbang menyatakan beliau berdepan kesukaran dan ingin berpatah balik. Beliau diberikan kebenaran untuk berpatah balik,” kata ketua pegawai eksekutif Ethiopian Airlines Tewolde GebreMariam kepada pemberita di Addis Ababa.
Keadaan cuaca di ibu negara Etiopia itu baik ketika kejadian.
Sejak kemalangan Lion Air, 737 MAX telah menghadapi keraguan yang semakin meningkat dari komuniti aeroangkasa. Program ini telah menghadapi masalah semasa pembangunan.
Pakar dari Teal Group Richard Aboulafia mengatakan terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada nahas itu kebetulan atau masalah yang berulang.
Seorang lagi pakar yang enggan identitinya didedahkan berkata terdapat persamaan yang jelas dalam nahas antara Lion Air dan Ethiopian Airlines.
“Ini adalah pesawat yang sama.Seperti Lion Air, kemalangan (Ethiopia Airlines) berlaku sejurus selepas berlepas dan juruterbang memberi isyarat bahawa mereka mengalami masalah, maka pesawat itu terhempas. Persamaannya jelas,” pakar aeroangkasa itu. – AFP, 11 Mac, 2019
Komen