Pakatan perlu mesej kuat satukan pengundi, kata Chin Tong 


Noel Achariam

Paka strategi DAP Liew Chin Tong berkata Pakatan Harapan perlu wujudkan mesej yang lebih kuat agar pengundi dapat menerima mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Mac, 2019

PARTI Pakatan Harapan perlu memiliki mesej yang kuat untuk menunjukan kepada rakyat bahawa pakatan pemerintah berusaha untuk mewujudkan perpaduan kukuh dalam kalangan orang Melayu, kata Liew Chin Tong.

Menurut pakar strategi DAP itu, amat penting untuk menyatakan kepada pengundi bahawa parti dalam pakatan teguh dalam pendirian mereka, dan berkata mesej yang bercanggah antara parti boleh takutkan pengundi. 

“Pakatan perlu wujudkan mesej yang kuat berhubung perkara ini. 

“Kita perlu elakkan daripada perpecahan dan ini semua boleh dan mampu dicapai,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau mengulas kenyataan pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim yang baru-baru ini berkata, PH perlu menangani persepsi negatif dalam kalangan pengundi Melayu terhadap DAP dengan mengelakkan tindakan dan kenyataan impulsif dari parti.

Bekas ahli Umno itu berkata, tahap penolakan yang ada dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar terhadap DAP kini sama dengan graviti kepada skandal rasuah yang melibatkan pemimpin Umno.

Beliau merujuk kepada kemenangan calon BN Zakaria Hanafi dalam pertandingan empat penjuru pada pilihan raya kecil Semenyih.

Liew berkata, sebelum ini mustahil untuk DAP membentuk satu pakatan, namun mereka bersatu dalam gabungan PH.

“Kita datang dari latar belakang berbeza tetapi kita membentuk satu pakatan.

“Sebelum ini orang sangat sangsi dengan DAP dan kami digelar sebagai anti-Melayu dan Islam.

“Tetapi kita telah membentuk pakatan dengan parti lain dan memenangi pilihan raya umum.”

Beliau berkata, untuk terus ke depan, mereka perlu wujudkan mesej yang lebih kuat agar pengundi dapat menerima mereka.

“Ianya takkan mudah. Kita perlu wujudkan mesej umum. Sekiranya Bersatu ada mesej mereka dan DAP ada mesej mereka sendiri maka akan timbul masalah. 

“Kita perlu mencari tema umum dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Kami perlukan mesej yang boleh sampai kepada semua rakyat.”

Mengenai perkembangan DAP di kawasan pedalaman di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang, Liew berkata mereka bercita-cita menjadi parti yang lebih nasional.

“Hampir 80% rakyat Malaysia adalah penduduk bandar dan 70% orang Melayu adalah penduduk bandar kecuali sesetengahnya mengundi di kampung halaman mereka.

“Kami mahu menjadi parti nasional, kami bercita-cita untuk menjadi parti kebangsaan, di mana kami mempunyai cabang dan juga wakil di mana-mana di negara ini.”

Mengenai kerjasama Umno dan PAS, Liew berkata kedua-dua parti itu hanya bersama apabila mereka mula memenangi pilihan raya kecil.

“Jika kita menyatukan mesej Malaysia yang kuat maka mereka tidak akan mendapat tempat. Mereka hanya boleh mendapat rentak jika kita gagal melakukannya. 
Rakyat Malaysia mesti bersama sama seperti sebelum pilihan raya umum.

“Kita perlu berdiri dan mengatakan bahawa cara PAS, Umno, MCA dan MIC akan memusnahkan negara ini, kita perlu bersama untuk menyelamatkan negara.” – 11 Mac, 2019
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen