MALAYSIA akan cuba untuk mendapatkan rundingan perjanjian perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) selepas AS menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPP), kata Perdana Menteri Najib Razak.
Beliau berkata ia akan terkandung dalam agenda lawatannya ke White House pada 12 September ini. Ini memandangkan AS lebih cenderung kepada perjnajian dua hala berbanding perjanjian pelbagai hala.
“Akan ada pertemuan rasmi mengenai perdagangan dua hala. Memandangkan pentadbiran AS sekarang lebih cenderung kepada perjanjian dua hala, Malaysia terbuka kepadanya,” katanya pada sidang akhbar selepaas merasmikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
“Kita akan memulakan beberapa perbincangan awal sama ada ini boleh dicapai atau berapa lamakah untuk mencapai keputusan itu .”
Januari lalu, Trump menarik AS daripada TPP dan memilih perjanjian perdagangan dua hala berbanding perjanjian pelbagai hala seperti pakatan 12 negara.
Pada Julai, AS mengumumkan yang ia akan menubuhkan kumpulan kerja dengan Malaysia bagi menangani hal-hal dagangan.
Najib berkata beliau mengharapkan syarikat-syarikat AS akan melihat Malaysai sebagai sebuah negara yang berdaya maju untuk pelaburan dan mampu membentuk “kerjasama dua hala yang saling menguntungkan” apabila perjanjian dua hala dicapai.
Tambahnya lagi, sebelas negara termasuk Malaysia yang masih dalam TPP akan membincangkan “beberapa jenis pengaturan pelbagai hala” tidak lama lagi.
“Terdapat juga sebelas negara (kecuali AS) yang akan bertemu di Da Nang, Vietnam yang berkemungkinan hadir untuk perjanjian perdagangan pelbagai hala.” – 8 September, 2017.
Komen