Bincang lagi isu kerajaan penyatuan ummah, kata pemimpin negeri


Sheridan Mahavera SM Amin

Umno juga mahu berkerjasama dengan PAS untuk "menggoncang" kerajaan Pakatan Harapan yang mempunyai majoriti tipis di Kedah dan Perak. Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, – 11 Mac, 2019

IDEA kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS perlu dibincangkan dengan lebih lanjut, kata pimpinan kedua-dua parti di peringkat negeri, kerana berpendapat ia akan memberikan kesan kepada banyak perkara.

Mereka umumnya menyambut baik cadangan tersebut, untuk dilaksanakan di Pahang dan Perlis yang diterajui oleh Umno serta di Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh PAS.

Cadangan ini disuarakan oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam mesyuarat bersama Umno dan PAS di ibu pejabat Umno Selasa lepas bagi membincangkan kerjasama lebih erat antara dua parti terbesar Melayu Islam itu.

Selain empat negeri tersebut, Umno juga mahu berkerjasama dengan PAS untuk “menggoncang” kerajaan Pakatan Harapan yang mempunyai majoriti tipis di Kedah dan Perak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Othman Aziz berkata kerjasama di peringkat negeri antara Umno dan PAS akan menambah kekuatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya rasa penubuhan kerajaan campuran atau pembangkang bersama ini dapat mengukuhkan kerjasama untuk jangka masa panjang termasuk menghadapi PRU15.

“Tetapi kita sedar bukan mudah untuk dilakukan di sesetengah negeri sebab ia melibatkan banyak faktor yang perlu diteliti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Menurut Othman, sebelum cadangan ini dapat direalisasikan, pimpinan pusat perlu menyediakan kerangka kerjasama yang jelas bagi mengelak sebarang konflik apabila ia dilaksanakan di negeri-negeri terlibat.

“Cadangan ini perlu dibincangkan secara serius dan juga secara terbuka. Semua pihak perlu faham dengan jelas.

“Pimpinan atasan perlu menyediakan kerangka yang jelas bagaimana idea ini dapat direalisasikan dan kita di peringkat bawah dan negeri ini akan menyokong penuh,” katanya.

Menuju PRU15

Bagi bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali pula, idea kerajaan campuran itu walaupun baik, ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru kerana perlu juga mengambil pandangan ahli akar umbi.

Bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata parti Islam itu tidak perlu terburu dan perlu meneliti semua aspek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019

Selain itu, kata Mustafa, kerjasama Umno dan PAS juga perlu dilihat dari sudut pandang yang lebih besar kerana gabungan dua parti itu sahaja tidak cukup untuk merampas Putrajaya.

“Kita mesti teliti dari semua aspek, bukan sahaja Umno tetapi apa yang baik untuk negara,” katanya, yang pernah menjadi timbalan menteri semasa PAS bersama dalam Barisan Nasional antara 1974 hingga 1978.

“Kerjasama Umno-PAS boleh menang besar (dalam pilihan raya) tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Kita perlukan parti komponen yang mewakili semua kaum di Malaysia,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam reaksinya juga berkata beliau mahu cadangan kerajaan perpaduan itu dilihat dalam konteks parti-parti lain yang ada hubungan dengan parti Islam itu, termasuk Bersatu sebagai kerajaan Persekutuan.

Tolak ansur

Bagi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Hasan Ariffin, Umno dan PAS perlu mempunyai semangat kebersamaan dan toleransi yang tinggi kerana ia akan turut melibatkan pembahagian negeri-negeri pada pilihan raya akan datang nanti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Hasan Ariffin berkata parti yang akan terajui negeri akan kekal seperti sedia ada sekiranya kerjasama Umno-PAS berjaya kekalkan penguasaan di peringkat negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019

“Jika sudah ada persetujuan sebegini, ini bermakna sekiranya kerjasama Umno-PAS berjaya mengekalkan penguasaan di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perlis, parti mana yang akan menerajui negeri itu akan kekal seperti yang ada sekarang.

“Begitu juga di Kedah. Kalau dari segi semangat ini, Umno perlu beri kepada PAS,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar Mohd Tarmizi Yahaya berkata ahli akar umbi parti itu tiada masalah untuk menerima cadangan yang dibawa oleh pimpinan PAS selagi mana ia baik untuk parti.

“Ahli PAS dididik untuk taat dan setia terhadap keputusan pemimpin. Kita sudah lihat hasil kerjasama PAS dan Umno berjaya menarik hati orang Melayu dan perkukuhkan perjuangan Islam,” kata Adun Panching itu. – 11 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen