Parlimen bersidang esok, 2 pindaan perlembagaan jadi tumpuan


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Pakatan Harapan menghadiri permukiman sebelum Parlimen mula bersidang esok. – Gambar ehsan Pakatan Harapan, 10 Mac, 2019.

SIDANG Parlimen yang akan bermula esok akan memberi tumpuan kepada dua pindaan utama Perlembagaan yang memerlukan sokongan dua per tiga majoriti ahli dewan, kata sumber.

Senarai teratas adalah pindaan Perlembagaan Malaysia untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak selaku rakan setara Semenanjung Malaysia.

Ini akan melibatkan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan pada sesi permukiman pra sidang Parlimen di Putrajaya pada Ahad.

Menurut seorang ahli Parlimen yang dihubungi The Malaysian Insight, Liew memaklumkan wakil rakyat komponen PH daripada Bersatu, PKR, DAP, Amanah dan Warisan, yang pindaan itu akan memerlukan sokongan dua per tiga majoriti ahli dewan.

Pada masa sekarang, Perkara 1 (2) menyenaraikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri dalam Malaysia. Parti politik Sabah dan Sarawak sudah lama menegaskan yang kedua-dua negeri itu tidak boleh dianggap sebagai negeri dalam Malaysia, tetapi memerlukan lebih banyak kuasa autonomi dalam bidang pendidikan, bahasa, keselamatan dan agama.

“Buat masa sekarang, Pakatan ada 135 ahli Parlimen, kurang 13 (untuk dua per tiga majoriti),” kata ahli Parlimen yang menghadiri permukiman bertajuk “Agenda Perubahan Undang-undang untuk Malaysia” semalam.

“Kerajaan berharap yang Gabungan Parti Sarawak, yang mempunyai 19 ahli Parlimen akan membantu,” katanya.

Satu lagi pindaan perlembagaan untuk sidang pertama Parlimen tahun ini adalah pengurangan umur minimum mengundi kepada 18 tahun.

Ini melibatkan pindaan Perkara 119 (1a) yang menyatakan rakyat hanya layak mengundi selepas mencecah umur 21 tahun.

Seorang lagi ahli Parlimen memberitahu The Malaysian Insight yang kerajaan juga berharap dapat meminda semua undang-undang berkaitan hukuman mati di Malaysia.

Kesalahan yang boleh disabitkan hukuman mati termasuklah keganasan, derhaka, bunuh, culik, rogol dan rompak bersenjata yang menyebabkan kematian. Semua kesalahan ini terletak bawah Kanun Keseksaan.

Undang-undang lain yang mempunyai hukuman mati adalah Akta Dadah Berbahaya, Akta Senjata Api dan Akta Penculikan.

Sebuah lagi perubahan utama dalam sidang Parlimen tahun ini adalah perubahan sesi soal jawa 90 minit pada permulaan sidang setiap hari.

“Menteri dan timbalan diperlukan untuk menjawab soalan dalam masa tiga minit, sementara soalan tambahan perlu diberikan dalam 30 saat. Kerajaan mahu menjadikan ia lebih berkesan dan memastikan setiap sesi ada sekurang-kurangnya 15 soalan,” kata seorang ahli Parlimen.

Seorang lagi ahli Parlimen berkata beliau berharap kerajaan dapat membentangkan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk perubahan institusi itu.

“Ada beberapa jawatankuasa yang dibentuk tetapi hanya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Jawatankuasa Pemilih yang diiktiraf undang-undang.

“Dengan adanya Akta Perkhidmatan Parlimen, jawatankuasa berbeza akan ada hak undang-undang,” tambahnya.

Pada penutup sidang Parlimen lalu, enam jawatankuasa dibentuk-  Jawatankuasa Menimbang Rang Undang-Undang (RUU), Jawatankuasa Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa Bajet, Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Kesaksamaan Gender.

Selain Liew, permukiman itu turut dikendalikan ahli Jawatankuasa Perubahan Institusi Prof Dr Shad Saleem Faruqi yang juga pakar undang-undang perlembagaan.

Permukiman itu tamat pada jam 5.30 petang semalam dan ditutup oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen