Letupan bom gegar wilayah Phatthalung dan Satun


Di wilayah Phatthalung kira-kira 200 kilometer dari Pattani sekurang-kurangnya enam butir bom meletup di daerah Pak Phayun antara jam 2 hingga 4 pagi (waktu tempatan) hari ini manakala sebutir lagi berjaya dimusnahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 10 letupan bom menggegarkan wilayah bergolak Phatthalung dan Satun di selatan Thailand sejak malam semalam hingga awal pagi tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun letupan itu mengakibatkan kerosakan pada bangunan dan kenderaan di tempat kejadian.

Di wilayah Phatthalung kira-kira 200 kilometer dari Pattani, sekurang-kurangnya enam butir bom meletup di daerah Pak Phayun antara jam 2 hingga 4 pagi (waktu tempatan) hari ini manakala sebutir lagi berjaya dimusnahkan.

Media tempatan melaporkan letupan itu berlaku di beberapa lokasi termasuk beberapa kedai runcit, kedai basikal di tambon (sub daerah) Don Prahu dan sebuah tong sampah berdekatan sebuah tadika di daerah Pak Phayun.

Berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian, polis mendapati dua suspek menggunakan motosikal berada di beberapa lokasi kejadian.

Sementara itu, empat lagi letupan dilaporkan berlaku di Wilayah Satun lewat malam sehingga awal pagi ini.

Ketua Polis Muang Satun Kol. Pacharapol Na Nakorn berkata dalam kejadian pertama kira-kira jam 10.15 malam (waktu tempatan), sebutir bom dipercayai meletup di dalam tong sampah di depan Balai Polis Satun.

Dalam kejadian kedua kira-kira jam 10.50 malam (waktu tempatan), beliau berkata sebutir bom meletup di tempat letak kenderaan balai polis itu yang mana ia dipasang di sebuah motosikal sebelum diletupkan.

“Siasatan skuad bom (EOD) mendapati bom yang digunakan dalam insiden itu adalah bom buatan sendiri. Tiada serpihan bom ditemui,” katanya.

Laporan awal polis mendapati lima kereta dan puluhan motosikal di tempat letak kenderaan balai polis tersebut rosak manakala bangunan turut mengalami kerosakan akibat insiden itu

Selain itu, dua butir bom meletup di luar sebuah kedai runcit di Khlong Khud kira-kira jam 4.20 pagi dan 5.10 pagi manakala satu lagi berjaya dimusnahkan.  

Pihak berkuasa tempatan mengadakan mesyuarat untuk memantau dan mengetatkan kawalan di wilayah bergolak itu. – Bernama, 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen