SEBUAH pesawat Ethiopian Airlines jenis Boeing 737 terhempas pagi tadi dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi membawa 149 penumpang dan lapan anak kapal, kata syarikat penerbangan itu pada ketika perdana menteri Ethiopia turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kami dengan ini mengesahkan yang penerbangan ET302 dari Addis Ababa ke Nairobi terlibat dalam nahas hari ini,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan.
“Dipercayai terdapat 149 penumpang dan lapan anak kapal tetapi kami masih menunggu pengesahan butiran penumpang untuk penerbangan itu.”
Syarikat itu berkata “operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan kami tidak mempunyai maklumat sah tentang mangsa terselamat atau kemungkinan jumlah kematian.”
Pesawat itu berlepas pada jam 8:38 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Boleh dan “terputus hubungan” enam minit kemudian berhampiran Bishoftu, sebuah bandar terletak 60 kilometer dari tenggara Addis Ababa.
Pejabat Perdana Menteri Abiy Ahmed menerusi Twitter menulis yang “ia mahu meluahkan takziah kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga tercinta dalam penerbangan Ethiopian Airlines Boieng 737 yang dalam perjalanan ke Nairobi, Kenya pagi ini.”
Syarikat turut menjelaskan yang mereka akan menghantar kakitangan ke tempat kejadian untuk membantu perkhidmatan kecemasa.
Ia juga mewujudkan pusat maklumat penumpang dan nombor telefon khusus untuk keluarga dan rakan-rakan mereka yang berada dalam pesawat.
Boeing 737-800MAX adalah jenis pesawat sama syarikat Lion Air, Indonesia yang terhempas pada 13 Oktober tahun lepas 13 minit selepas berlepas, membunuh kesemua 189 orang dalam pesawat.
Nahas terburuk terakhir melibatkan Ethiopian Airlines berlaku pada 2010, apabila pesawat jenis Boeing 737-800 meletup selepas berlepas dari Lubnan membunuh semua 83 penumpang dan tujuh anak kapal. – AFP, 10 Mac, 2019.
Komen