PENYERANG bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kelab malam di pusat Mexico pada awal hari Sabtu, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang mati dan tiga lagi cedera, kata pendakwaraya.
Kejadian itu berlaku di kota Salamanca di Guanajuato, di mana pihak berkuasa melancarkan operasi bagi membasmi kumpulan-kumpulan jenayah yang terlibat dalam kes kecurian bahan api.
Lelaki bersenjata itu melarikan diri dari kelab La Playa - yang terletak di kawasan kediaman dan komersial bandar itu - menggunakan sebuah kereta, kata pendakwaraya, di samping menambah bahawa siasatan telah dimulakan.
Saksi memberitahu pihak berkuasa bahawa penyerang itu bertopeng.
Bagaimanapun, mangsa masih belum dikenalpasti.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Andres Manuel Lopez Obrador membuat lawatan kerja ke Guanajuato, di mana beliau berucap pada hari Jumaat mengenai strategi beliau bagi menghentikan aktiviti mencuri bahan api.
Pada hari Sabtu, Lopez Obrador berkata beliau menyesali “kehilangan nyawa yang tidak bersalah.”
“Kami akan berjuang untuk membawa keamanan di negara ini,” katanya kepada pemberita. – AFP, 10 Mac, 2019.
Komen