PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau, pada hari Khamis menafikan tuduhan campur tangan “tidak wajar” dalam pendakwaan gergasi korporat, memandangkan pemimpin muda itu menghadapi krisis terburuk sejak berkhidmat sebagai perdana menteri.
Berdepan pelbagai desakan untuk beliau meletak jawatan berikutan pelbagai skandal, Trudeau membincangkan tuduhan itu dalam satu sidang akhbar di Ottawa - mengatakan beliau telah mendapat “pengajaran” dari krisis yang dihadapinya, namun tetap menafikan sebarang salah laku.
Lingkaran dalaman Trudeau dituduh menekan bekas peguam negara untuk melindungi gergasi kejuruteraan Kanada SNC-Lavalin dari pertuduhan rasuah.
Kes itu mencetuskan peletakan jawatan pegawai kanan Trudeau dan dua menteri kabinet, mengakibatkan sokongan kepada perdana menteri itu tercalar dari terhadap beliau dan parti Liberal yang dipimpinnya.
Mengulas di hadapan media, perdana menteri berusia 47 tahun itu mengakui bahawa beliau menyuarakan penangguhan perbicaraan itu ketika mesyuarat September tahun lalu bersama Peguam Negara Jody Wilson-Raybould - yang meletakkan jawatan susulan krisis tersebut. Beliau berkata mereka membincangkan kesan terhadap pekerjaan-pekerjaan yang ada di Montreal.
“Tetapi,” katanya, “komen ini tidak bersifat partisan.”
Semasa hari keterangan diambil di hadapan jawatankuasa keadilan Dewan Rakyat, Wilson-Raybould berkata beliau mengalami tekanan “konsisten dan berterusan” dari kalangan pegawai dalaman Trudeau bagi mengganggu kes itu, termasuk “ancaman tersembunyi.”
“Tidak ada tekanan yang tidak wajar,” tegas Trudeau, yang bertegas dengan pendirian sebelum ini yang beliau katakan kepada Wilson-Raybould sebarang keputusan diambil oleh beliau sendiri. – AFP, 10 Mac, 2019.
Komen