SEBUAH jet penumpang Turkish Airlines yang sedang dalam perjalanan dari Istanbul ke New York mengalami cuaca bergelora pada Sabtu ketika menghampiri destinasinya, dengan 30 orang mengalami kecederaan sebelum mendarat dengan selamat, kata para pegawai.
Mereka yang cedera dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York ke beberapa hospital tempatan, kebanyakannya dirawat kerana terhantuk, luka dan lebam.
Seorang atendan penerbangan patah kaki, menurut Steve Coleman, jurucakap Lembaga Pelabuhan New York dan New Jersey, yang mengendalikan lapangan terbang, terminal, jambatan dan terowong.
Boeing 777 - yang membawa 326 penumpang dan 21 anak kapal - berada di atas Lautan Atlantik, kira-kira 45 minit sebelum mendarat apabila ia dilanda keadaan gelora, kata Coleman kepada AFP.
Operasi lapangan terbang tidak terganggu akibat kejadian itu, tambahnya.
Turkish Airlines belum memberi sebarang respons terhadap permintaan untuk memberikan komen.
Terdahulu, sebuah pesawat yang dikendalikan oleh Air Transat milik Kanada membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang lain di New York - di Newark, New Jersey - selepas asap dikesan di dalam kargo, kata syarikat itu.
Boeing 737-800 dengan 189 penumpang, berlepas dari Montreal ke Fort Lauderdale, Florida. Tiada siapa yang cedera, kata jurucakap Air Transat. – AFP, 10 Mac, 2019.
Komen