Lunas janji, prestasi kerja lebih pengaruhi PRK berbanding retorik kaum, agama


Sheridan Mahavera

Pakatan Harapan kini berdepan krisis penurunan sokongan akibat pelbagai faktor dan paling utama janji manifesto yang tidak ditunaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

2019 menyaksikan Pakatan Harapan kecundang dan kemungkinan akan terus kalah pilihan raya sehingga ia memenuhi janji manifesto dan menyelesaikan masalah kos sara hidup.

Analisis hasil keputusan empat pilihan raya kerusi (PRK) DUN negeri dan satu kerusi Parlimen pada 2018 dan dua PRK tahun ini menunjukkan sokongan yang diperoleh kerajaan menurun sejak gabungan politik itu mengambil alih Putrajaya Mei tahun lalu.

Pemerhati politik dan ahli politik sendiri menyalahkan kemunculan pakatan pembangkang baharu antara Umno dan PAS dan penggunaan anasir perkauman dan agama oleh kedua-dua parti itu.

Namun para penganalisis yang mengkaji keputusan enam PRK lalu dan meninjau sentimen di kalangan orang Melayu, berkata isu kaum sememangnya menjadi faktor tetapi ia bukan faktor penentu mutlak.

Faktor dan sebab yang lebih besar adalah ketidakpuasan hati terhadap kegagalan kerajaan PH dalam menunaikan janji-janji manifesto di samping gagal menjadikan kehidupan lebih baik terhadap mereka yang menyokong mereka seperti merangsang ekonomi yang lebih jitu, meningkatkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan membantu menangani tekanan kos sara hidup.

Tinjauan Ilham Centre pada pertengahan 2018 menimbulkan masalah ini dan menunjukkan retorik agama-kaum mempunyai daya tarikan yang terbatas terhadap orang Melayu, walaupun ia menguasai tajuk-tajuk utama berita.

Barisan Nasional dan Umno menang dua PRK pada 2019, yang terbaru di Semenyih, merampas kerusi DUN yang sebelum ini dipegang Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

Dalam kaji selidiknya, hanya 16% orang Melayu mengatakan perlindungan hak-hak Melayu dan kedudukan Islam sebagai perkara yang paling penting.

Baki 50% berkata isu ekonomi adalah keprihatinan mereka yang paling tinggi dengan 32% memilih menurunkan kos sara hidup dan 18% berkata pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan. Sekitar 20% mengatakan bahawa janji janji pilihan raya adalah yang paling penting.

Walaupun Cameron Highlands dan PRK Semenyih menunjukkan bahawa politik berasaskan kaum Umno-PAS menunjukkan hasil, namun satu kajian mendalam mengenai hasil keputusan tersebut menunjukkan bahawa kemarahan terhadap kegagalan kerajaan adalah alasan yang lebih besar mengapa gabungan kerajaan pemerintah kecundang.

“Jika benar retorik kaum dan agama menentukan kemenangan dalam pilihan raya, maka PH tidak akan pernah memenangi PRU14,” kata Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre.

“Ini kerana Umno selalu menggunakan taktik ini dalam setiap pilihan raya bagi mendapat sokongan orang Melayu. Mereka melakukan perkara yang sama kepada terhadap PH dalam PRU14 namun mereka masih kalah,” kata Azlan, ketua pegawai operasi Ilham Center.

“Sekiranya PH mahu menang pilihan raya kecil lagi dan juga pilihan raya umum yang akan datang, ia perlu menunjukkan bahawa ia telah melaksanakan dan memenuhi janji-janji yang ditaburkan. Semakin lama yang diperlukan bagi melakukan hal ini, ia akan jadi semakin sukar. “

Pakatan Harapan diketuai Dr Mahathir Mohamad dan bakal perdana menteri kelapan Anwar Ibrahim berdepan cabaran besar melunaskan janji PRU14 jika mahu memastikan Putrajaya milik mereka untuk penggal kedua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

Kemenangan berturut-turut

Dalam empat pilihan raya kecil pertama pada 2018, PH berjaya meningkatkan tahap sokongan dalam semua peringkat kecuali Seri Setia walaupun jumlah pengundi yang rendah, kata Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP, Dr Ong Kian Ming.

Ia memenangi kesemua empat pilihan raya kecil 2018, Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson ekoran gabungan kegembiraan pengundi pasca-PRU14, calon pembangkang yang lemah dan persepsi harga barang yang lebih rendah disebabkan oleh cuti cukai.

Di kerusi majoriti Melayu Sungai Kandis, sokongan meningkat sebanyak 5.8%, Balakong, 7.5%, dan Port Dickson 12.2%.

Di kerusi campuran DUN Seri Setia, PH menghadapi calon PAS yang lebih hebat yang merupakan bekas exco Selangor kata Ong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Ini menyebabkan gabungan itu melihat kejatuhan keseluruhan sebanyak 7.6% dan penurunan undi Melayu sebanyak 11.2%.

Meskipun menyaksikan penurunan sokongan, PH masih berjaya mengekalkan Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi.

Isu kos sara hidup perlu jadi keutamaan Pakatan Harapan jika mahu terus mentadbir Putrajaya.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

Kemenangan berturut-turut ini bagaimanapun gagal dipertahankan di Cameron Highlands yang diadakan pada Januari tahun ini kerana PH cuba mengambil alih kerusi yang sentiasa menjadi kubu kuat Barisan Nasional.

Parlimen di kawasan luar bandar yang juga menyaksikan kerjasama BN dan PAS berada pada tahap paling kuat sebelum Semenyih. Pemimpin PAS dan aktivis akar umbi bertungkus lumus bagi memastikan bahawa mereka yang mengundi parti berasaskan agama itu dalam PRU14 memberikan undi mereka kepada BN.

Walaupun retorik perkauman digunakan di Cameron Highlands, ia bukanlah sebab utama mengapa PH gagal menggondol kerusi itu, menurut Azlan dari Ilham Centre.

Kegagalan gabungan itu untuk mengatasi masalah ekonomi desa, terutama penurunan harga getah dan minyak kelapa sawit dan getah, dan jumlah pengundi yang rendah di kalangan penyokong tegar di Tanah Rata menyebabkan mereka diketepikan. Di kawasan pengundian majoriti Cina dan India (PDM), jumlah undi turut turun di bawah 50%.

Semenyih dan seterusnya 

Keadaan PH di Semenyih tidak menunjukkan perubahan ke arah lebih baik, kerusi majoriti Melayu di pinggir bandar Selangor itu dimenangi mereka dalam PRU14. Namun, PH hanya berjaya mendapat 17,866 undi dan kecunding kepada BN yang memperoleh 19,780 undi.

Kerjasama yang lebih baik antara Umno dan PAS menyebabkan BN mendapat lebih 5,000 undi dengan bantuan PAS. Dalam PRU14, BN memperoleh 14,464 undi manakala PAS menerima 6,996. Sementara PH menyaksikan penurunan 5,562 undi.

PH hanya memenangi 25% undi Melayu di Semenyih, kata Kamarul Bahrin Zahid dari lembaga pemikir Institut Darul Ehsan (IDE).

Dalam PRU14, sokongannya di kalangan orang Melayu Semenyih adalah 44.25%, menurut pejabat Penyelidikan Parlimen DAP.

Kerjasama politik Umno dan PAS yang dipenuhi retorik kaum dan agama bakal mendatangkan cabaran kepada Pakatan Harapan jika mereka gagal lunas janji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

Dalam kesemua 17 kawasan pengundian majoriti Melayu di Semenyih, perubahan sokongan PAS kepada undi BN jelas. Dalam sekurang-kurangnya lima daripada PDM, kombinasi Umno-PAS berjaya mendapat lebih banyak undi berbanding ketika mereka berseorangan dalam PRU14.

Contohnya dalam PDM Sesapan Kelubi, BN mengetepikan 387 undi berbanding dengan 285 yang diterima dan 70 undi yang diperolehi PAS dalam PRU14. 

Di permukaan, nampaknya peningkatan sokongan BN adalah dari mereka yang telah mengundi PH dalam PRU14, namun Kamarul Bahrin dari IDE tidak fikir begitu.

“Peningkatan sedikit itu boleh datang dari kira-kira 1,800 pengundi yang mengundi mereka untuk kali pertama. Walaupun ia penyokong PH beralih menjadi pengundi BN, angka-angka itu adalah kecil. “

Apa yang lebih penting ialah kejatuhan sokongan PH di semua PDM Melayu. Di Bukit Mahkota, PH memperoleh 1,540 undi berbanding 2,329 pada PRU14. Malah di Kantan Permai, sokongan PH turun dari 2,654 kepada 1,622 undi dan BN hanya menambah sokongannya dengan 27 undi.

Pakatan Harapan perlu memastikan prestasi mereka berada pada tahap terbaik dan janji perubahan menyeluruh struktur negara berjalan lancar sekiranya mahu terus berada di Putrajaya pasca PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

Sekiranya cerita bahawa penyokong-penyokong Melayu PH beralih kepada BN berikutan ketakutan ia mengetepikan orang Melayu dan Islam, maka gabungan parti pembangkang akan mendapat lebih banyak undi.

“Agenda Melayu-Islam lebih banyak bekerja untuk mendapatkan ahli PAS bagi mengundi BN namun kurang mempengaruhi pengundi atas pagar dan mereka yang menyokong PH dalam PRU14. Penyokong ini menjauhkan diri daripada mengundi secara langsung untuk BN. Tetapi dengan berbuat demikian, mereka mahu mengajar pengajaran PH,” kata Azlan dari Ilham Centre.

Bantahan dari mereka yang mengundi PH dalam PRU14 terhadap gabungan politik itu mempunyai kesan yang lebih kuat dan kedua-dua IDE dan Ilham percaya bahawa trend ini akan diteruskan pada pilihan raya kecil terutama Rantau.

“PH tidak boleh sambil lewa dalam menangani penyokongnya,” kata Azlan dari Ilham Centre.

“Mereka sudah menjelaskan protes mereka terhadap gabungan itu kerana tidak menunaikan janji. Sekiranya PH tidak dapat meyakinkan para pengundi ini dalam tempoh satu tahun akan datang, ia akan menjadi sukar untuk untuk PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15. ” – 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen