Marina selar Mujahid, Wan Saiful hina LGBT


Alfian Z.M. Tahir

Marina Mahathir melahirkan rasa tidak puas hati beliau dengan pendekatan menteri hal ehwal Islam yang dilihat tidak menumpukan tuntutan-tuntutan lain mengenai wanita di dalam negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

AKTIVIS Marina Mahathir menyelar pemimpin Pakatan Harapan Dr Mujahid Yusof Rawa dan Wan Saiful Wan Jan kerana menghina komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mengambil bahagian dalam perarakan Hari Wanita semalam.

Anak perempuan perdana menteri itu mengecam kedua-dua mereka kerana menurut beliau hanya memberi tumpuan kepada satu perkara walaupun banyak tuntutan lain dibuat ketika perhimpunan itu diadakan.

“Saya nak beritahu anda Wan Saiful dan Mujahid Yusof. Anda cuba alih perhatian daripada tangani isu-isu wanita yang utama dengan memberi tumpuan kepada hanya satu daripada BANYAK tuntutan di #WomensMarch. Anda berdua patut malu! #Misogyny #youreadisgrace,” kata beliau dalam saru hantaran di akaun Twitter.

Tweet itu dikongsi sebanyak 82 kali dan menerima 121 tanda suka.

Kedua-dua Mujahid dan Wan Saiful dilihat belum menjawab tweet terbaru Marina itu walaupun kedua-dua pemimpin parti pemerintah itu turut dipanggil dalam hantaran yang sama.

Mujahid adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, dan merupakan salah seorang naib presiden Amanah. Sementara itu, Wan Saiful adalah ahli Bersatu, sebuah parti yang diketuai oleh bapa Marina dan merupakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga merupakan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Melanjutkan tweetnya terhadap kedua-dua pemimpin itu, Marina bertanya sama ada mereka telah mengatakan perkara-perkara yang positif sempena Hari Wanita Antarabangsa.

“Adakah mereka ucapkan selamat kepada kami? Dan ingat kami kumpulan-kumpulan wanita yang berkempen dan mengundi untuk anda!!! #misogyny,” katanya.

Beliau kemudian bertanya kepada mereka jika mereka percaya bahawa wanita boleh dipukul.

“Adakah anda percaya bahawa wanita harus menanggung gangguan seksual? Adakah anda percaya bahawa perempuan dan anak perempuan patut mati ketika melahirkan anak? Adakah anda percaya bahawa wanita harus dibayar kurang daripada lelaki? #misogyny. “

“Saya sudah mula percaya bahawa lelaki benar-benar yakin bahawa isu-isu wanita adalah perkara yang trivial, dan itulah sebabnya mereka akan mencari alasan untuk TIDAK bertindak balas terhadap tuntutan bagi menangani apa-apa yang memberi kesan kepada wanita. Ia dipanggil MISOGYNY !! #Kebencianterhadapperempuan,” tambahnya.

Beberapa pengguna Twitter menyokong sentimen Marina dengan mengatakan bahawa banyak pemimpin PH telah melupakan apa yang mereka sebut sebagai perjuangan. 

Pengguna lain bagaimanapun turut menyatakan tidak setuju dengan pendirian Marina, mengatakan bahawa komuniti LGBT tidak mempunyai tempat di Malaysia moden.

Semalam, Mujahid dilaporkan berkata bahawa para peserta perarakan di Kuala Lumpur tidak sepatutnya menggunakan acara itu untuk mempertahankan hak LGBT.

Mujahid berkata tindakan menyokong untuk komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender oleh orang-orang yang menyalahgunakan demokrasi.

Beliau turut menambah bahkan perdana menteri juga telah menyatakan pendirian kerajaan mengenai hak LGBT di Malaysia.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, penyertaan masyarakat LGBT semasa perhimpunan itu salah dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan.

Beliau menambah bahawa Malaysia harus menolak dogma tersebut, mengatakan bahawa ia hanya boleh mencetuskan provokasi yang tidak diingini di negara ini. – 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen