SERAMAI 15 pesakit buah pinggang warga Venezuela meninggal dunia selepas tidak dapat menjalani dialisis semasa gangguan bekalan elektrik di negara itu, lapor NGO pada Sabtu
“Antara semalam dan hari ini, terdapat 15 kematian akibat tiada dialisis,” kata Francisco Valencia, pengarah kumpulan hak asasi kesihatan Codevida.
“Keadaan pesakit dengan kegagalan buah pinggang sangat sukar, kritikal, kita bercakap mengenai 95% unit dialisis, hari ini mungkin mencapai 100%, lumpuh, akibat gangguan tenaga,” tambah Valencia.
Beliau memberi amaran terdapat lebih daripada 10,200 orang yang bergantung kepada dialisis di seluruh negara yang berisiko susulan terputusnya bekalan tenaga.
Venezuela sejak petang Khamis berdepan gangguan bekalan elektrik paling buruk dalam sejarah negara pengeluar minyak itu.
Presiden Nicolas Maduro menuduh perang yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap bekalan kuasa elektrik sedang berlaku.
AS menyokong presiden sementara daripada pemimpin pembangkang Juan Guaido. Beliau kini diiktiraf sebagai presiden sementara di lebih 50 negara.
Maduro memberitahu penyokong pada Sabtu, hampir 70% kuasa dipulihkan tetapi pada tengah hari terdapat satu lagi serangan “siber” di salah satu penjana yang beroperasi dengan sempurna dan ia menganggu semua yang telah lakukan.”
Walaupun Caracas dan negeri Miranda dan Vargas - tempat lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan utama - pulih sekejap, wilayah barat Barinas, Tachira dan Zulia masih tiada bekalan elektrik. – AFP, 10 Mac, 2019.
Komen