12 maut nahas pesawat di Colombia


Sebuah pesawat Douglas DC-3 terhempas ketika ia dalam penerbangan antara bandar San Jose del Guaviare dan Villavicencio. – Gambar EPA, 10 Mac, 2019.

SATU nahas pesawat di Colombia membunuh 12 orang pada Sabtu, termasuk seorang datuk bandar dan keluarganya, kata pihak penerbangan dan perkhidmatan kecemasan.

Pesawat Douglas DC-3, pesawat kipas enjin berkembar Amerika yang pertama kali dihasilkan pada 1930-an, terhempas ketika ia dalam penerbangan antara bandar San Jose del Guaviare dan Villavicencio. Seorang pegawai jabatan bomba memberitahu AFP ia kemudiannya terbakar.

“Malangnya ... tiada yang terselamat,” kata pihak berkuasa penerbangan Aeronautica Civil, sambil menambah bangkai pesawat dijumpai berhampiran Villavicencio.

Antara mangsa ialah datuk bandar Taraira, Doris Villegas, dan suaminya, serta pemilik pesawat, juruterbang Jaime Carrillo, pembantu juruterbang Jaime Herrera dan juruteknik penerbangan yang dikenal pasti sebagai Alex Moreno.

Presiden Ivan Duque memberi penghormatan kepada mangsa di Twitter.

“Solidariti saya bersama keluarga mangsa,” tulisnya.

Perkhidmatan kecemasan Civil Defensa membuat anggaran angka kematian sebanyak 12 mangsa, dengan pengarah Kolonel Jorge Martinez berkata ia mungkin disebabkan kegagalan mesin sebagai penyebab kemalangan itu.

“Pada saat ia terbang di atas perbandaran San Martin, satu enjin mati dan juruterbang ... cuba mendarat ... tetapi ia tidak dapat dikawal,” katanya kepada saluran berita RCN.

Bagaimanapun, Aeronautica Civil tidak memberikan butiran mengenai punca dan meminta pihak media tidak menyiarkan gambar yang tular di media sosial “bagi menghormati mangsa dan keluarga mereka.”

Sementara itu, jabatan bomba mengesahkan penerbangan itu tidak berdepan keadaan cuaca yang tidak baik.

Pesawat itu dikendalikan oleh Laser Aereo, sebuah syarikat pengangkutan kargo dan penumpang. Ketika dihubungi oleh AFP, syarikat itu enggan mengulas mengenai kemalangan itu. – AFP, 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen