SEKURANG-KURANGNYA 15 maut susulan kejadian tembakan di sebuah kelab malam di pusat bandar Mexico, kata pendakwa raya pada Sabtu.
Empat individu lagi, tiga lelaki dan seorang wanita, mengalami kecederaan, kata jurucakap pejabat pendakwa raya, Juan Jose Martinez kepada AFP melalui telefon.
Kelab malam terletak di negeri Guanajuato, di mana pihak berkuasa melancarkan operasi terhadap kumpulan jenayah yang terlibat dalam kecurian bahan api.
Serangan itu berlaku pada awal pagi Sabtu apabila beberapa lelaki dilengkapi senjata melepaskan tembakan di kelab malam La Playa di Salamanca sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan, kata jurucakap itu.
Empat orang yang cedera dibawa ke sebuah hospital berdekatan. Setakat ini tiada seorang pun yang dikenal pasti.
Salamanca adalah kawasan terletaknya saluran paip utama syarikat minyak negara Petroleos Mexicanos (Pemex), di mana kecurian bahan api menyebabkan syarikat menanggung kos kerugian sekitar AS$3 bilion sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada akhir Januari, sebuah bom palsu ditemui di sebuah kereta yang diletakkan berhampiran loji penapisan.
Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador turut diancam dengan desakan beliau mengarahkan penarikan pihak tentera dari kawasan kecurian bahan api.
Salamanca kurang 100 kilometer dari Santa Rosa de Lima, di mana beberapa hari lalu pihak berkuasa melakukan operasi terhadap Juan Antonio Yepez, yang didakwa sebagai ketua kartel mencuri minyak. – AFP, 10 Mac, 2019.
Komen