Ribuan rakyat Venezuela bakal adakan perhimpunan


Pemandangan bangunan dengan lampu kecemasan di Caracas, Venezuela pada 7 Mac lalu ketika gangguan elektrik yang menjejaskan negara. - Gambar EPA, 9 Mac, 2019.

RIBUAN rakyat Venezuela dijangka membantah sekali lagi hari ini apabila pemimpin pembangkang Juan Guaido memberi tekanan terhadap Presiden Nicolas Madura di tengah-tengah krisis gangguan bekalan elektrik yang melumpuhkan banyak bahagian negara itu.

Kedua-dua pemimpin berkenaan meminta penyokong mereka memenuhi jalan di Caracas dan bandar lain.

“Esok saya menyeru rakyat Venezuela membuat kenyataan di jalanan terhadap rejim perampas dan korup yang menjatuhkan negara kita ke dalam kegelapan,” tulis Guaido di laman Twitternya.

“Kami kembali ke jalan raya dan tidak akan pergi selagi tidak mencapai matlamat,” tambahnya.

Sementara itu Maduro meminta penyokongnya untuk berarak hari ini untuk terus memperluaskan pengaruh.

Kerajaan Venezuela berhadapan gangguan bekalan elektrik teruk semalam yang melumpuhkan banyak bahagian negara itu ketika Presiden Nicolas Maduro mendakwa ia disebabkan sabotaj oleh Amerika Syarikat.

Gangguan itu yang bermula lewat kelmarin antara paling lama dan paling meluas menonjolkan ketegangan dalam pergelutan Maduro mengekalkan kuasa dengan pencabarnya yang disokong AS, Juan Guaido.

Maduro menutup pejabat dan sekolah ‘dalam usaha memudahkan usaha memulihkan perkhidmatan elektrik’, menurut tweet Naib Presiden, Delcy Rodriguez.

Bekalan elektrik dipulihkan secara beransur-ansur ke sebahagian besar Caracas petang semalam, selain di negeri Miranda dan Vargas, yang menempatkan lapangan terbang dan pelabuhan utama negara itu.

Bagaimanapun, ia cuma untuk masa singkat apabila bekalan elektrik terganggu lagi, berlanjutan lebih 24 jam.

Menjelang malam, kuali yang diketuk penduduk kedengaran seluruh ibu kota negara itu, bentuk bantahan popular yang kerap dilihat di Amerika Selatan.

Orang ramai membentuk barisan panjang di beberapa stesen gas untuk mengisi minyak untuk generator. – AFP, 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen