Wanita Jepun 116 tahun diiktiraf tertua di dunia


Kane Tanaka, 116, diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai manusia tertua di dunia. – Gambar AFP, 9 Mac, 2019.

GUINNESS World Records hari ini mengiktiraf seorang wanita Jepun berusia 116 tahun sebagai manusia tertua di dunia.

Kane Tanaka yang suka belajar matematik, dilahirkan pada 2 Januari, 1903.

Datuk Bandar Fukuoka, Soichiro Takashima mengadakan majlis sambutan sempena pengiktirafan Tanaka di rumah penjagaan orang-orang tua di barat Jepun, di mana Tanaka tinggal.

Apabila ditanya apakah saat paling paling gembira dalam hidupnya, Tanaka menjawab: “Sekarang.”

Dia berkahwin dengan Hideo Tanaka pada 1922, memperoleh empat anak. Tanaka juga mengambil seorang anak angkat.

Tanaka biasanya bangun pada jam 6 pagi setiap hari dan belajar matematik serta kaligrafi pada waktu tengah hari.

Guinness juga berkata Tanaka suka bermain Othello pada masa lapang dan sering mengalahkan kakitangan di rumah itu.

Selain Tanaka, sebelum ini, Jiroemon Kimura, direkodkan sebagai lelaki tertua di dunia, meninggal dunia pada Jun 2013 pada usia 116 tahun.

Menurut Guinness, manusia paling lama hidup di dunia adalah Jeanne Louise Calment dari Perancis, yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun pada 1997. – AFP, 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen