Waspada! Rasis kini bom jangka berbahaya


Zainal Rashid Ahmad

SEORANG ustaz yang memiliki pusat tahfiz persendirian di Tanjung Karang, bertanya kepada saya: “Apakah perkauman sekarang berada pada tahap yang cukup teruk?”

Saya berfikir lama. Akhirnya memilih untuk menjawab sebagai wartawan: “Secara sentimennya, ya. Ini disebabkan terlalu banyak status perkauman di hantaran media sosial dibincangkan secara keterlaluan. Malah, diburukkan lagi oleh manipulasi politik.”

Perbincangan netizen di media sosial, kata saya, memburukkan lagi keadaan kerana banyak pandangan menjuruskan kepada hasutan. 

Ramai pemilik akaun, walaupun secara bijak cuba mengawal status hantaran mereka, namun sebenarnya berniat membiak dan membakar sentimen rasisme.

Saya juga menjelaskan, sejak tiga bulan lalu, bermula dengan isu kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bahang perkauman berada pada tahap paling buruk sejak alaf baharu. 

Malah, laporan pemberitaan mengenai siasatan kes kematian ahli bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner juga berimpak negatif.

Sekalipun semua saksi membentangkan fakta yang akademik serta profesional, dan butirannya disiarkan secara terperinci oleh media massa, namun halikatnya ia membakar persepsi kaum.

Kata saya, Mahkamah Koroner bertanggung jawab mendengar semua keterangan saksi berasaskan fakta. Namun, cara masyarakat menerima fakta itu sangat negatif. Masyarakat memproses keterangan saksi dengan kayu ukur yang penuh syak wasangka.

“Ini isu set minda, ustaz,” kata saya.

Saya jelaskan, apabila set minda sudah dibayangi persepsi buruk, fakta yang diterima akan dipacu tafsirannya berdasarkan sentimen perkauman.

“Maksud anda?” tanya ustaz.

Saya menjelaskan, apabila saksi menjelaskan secara terperinci bagaimana Adib diserang, fakta itu digunakan untuk membakar sentimen orang Melayu.

“Apabila doktor keturunan India menjadi saksi patalogi menjelaskan, kecederaan Adib akibat hentakan benda keras yang menjurus kepada bukan kesan pukulan biasa, keterangan itu disebar sebagai fakta perkauman. Orang menuduh wujud cubaan melindungi kenyataan sebenar,” kata saya.

Dua minggu lalu, jelas saya, keadaan diburukkan lagi dengan empat kes menghina Rasulullah secara terbuka di Facebook.

“Begitu banyak diskusi awam dan akademik mengenai isu menghina Rasulullah dan Siti Aisyah. Umumnya, meskipun hujahnya benar, semua itu makin menyumbang kepada sentimen kaum dan prasangka antara agama,” ulas saya.

Sebenarnya, soalan ustaz kawan baik saya ini ada sebabnya.

Katanya, pada Rabu lepas dia diserang seorang lelaki berlainan bangsa dan agama dengan pengunci stering. Selain cubaan mencederakan dirinya, penyerang ganas itu secara terbuka telah memaki hamun dirinya dan mencerca Islam di khalayak ramai.

“Saya pakai jubah ketika kejadian. Jadi, dia sengaja menghina Islam kerana mahu menimbulkan kemarahan saya,” kata ustaz yang memiliki doktor falsafah dalam bidang syariah.

Kesnya mudah. Kata ustaz kawan saya, setelah keluar dari bank di bandar Meru, Kelang, keretanya terhadang sebuah kereta mewah. Di dalam kereta itu, seorang wanita yang duduk di kerusi penumpang secara sengaja enggan mempedulikan isyarat ustaz supaya mengalihkan kenderaannya.

“Saya mendekatinya dan meminta keretanya digerakkan kerana menghadang laluan. Dia tidak peduli dan asyik menggunakan handphone,” katanya.

Setelah didekati dan mengetuk cermin keretanya, wanita itu terus berang dan membuat panggilan telefon. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang keluar dari bank dan terus menyerbu dan memaki hamun ustaz ini. Seterusnya mencela Islam dengan bahasa sangat kesat.

Nasib lelaki bukan Islam itu kurang baik, kerana ramai yang mendengar makiannya. 

“Orang Islam yang mendengar makiannya, segera menyerbu kerana amat marah. Lelaki itu membuka pintu kereta, lalu mencapai pengunci stering. Tapi langkah itu satu provokasi. Orang Islam bertindak-balas lalu mengepungnya dengan menggunakan pelbagai senjata lain termasuk kayu dan topi keledar,” katanya.

Sebagai pemilik pusat tahfiz dan percaya keganasan adalah perbuatan sia-sia, ustaz muda ini segera menghalang terjadinya pembantaian dan meminta lelaki bukan Islam itu supaya segera berlalu.

“Apabila lelaki itu memandu pergi, orang ramai memarahi saya kerana membiarkan seorang bukan Islam menghina Islam dengan maki-hamun yang melampau,” kata ustaz.

Mereka benar-benar marahkan saya, dan tidak dapat menerima sikap tolak-ansur saya yang dianggap sengaja membiarkan Islam dihina oleh bukan Islam.

“Saya dimarahi dengan teruk,” kata ustaz.

Sebagai wartawan, saya faham kerisauan kawan baik saya. 

Sekiranya dia tidak segera meleraikan keadaan, ada kemungkinan berlaku pembantaian yang teruk.

“Saya nampak, ada beberapa orang yang cuba menyerang lelaki bukan Islam itu senjata berbahaya,” katanya.

Sebagai wartawan, saya yakin kes seperti ini bukan lagi kes terpencil. Ia antara petunjuk wujudnya sentimen kes bom jangka yang menanti detik saja untuk meletup.

Persoalannya: Apakah kita semua menyedari tahap ketegangan kaum dan hubungan antara agama kini berada pada tahap kritikal? 

Kalau sedar, sudahkah kita bertindak untuk mencegahnya? – 10 Mac, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen