Upacara mandi lumpur tradisional Bali jadi tarikan


Penduduk Bali melumurkan lumpur di badan mereka semasa upacara mandi lumpur tradisional yang dikenali sebagai Mebuug-buugan di Kampung Kedonganan berhampiran Denpasar, Bali - Gambar AFP, 9 Mac, 2019.

SEHARI selepas Bali meraikan Hari Nyepi, beratus-ratus orang menyertai upacara mandi lumpur yang baru-baru ini dihidupkan semula selepas 60 tahun.

Mandian lumpur yang dikenali orang tempatan sebagai Mebuug-buugan dipercayai diadakan untuk membersihkan dan membuang nasib buruk.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak bermandi lumpur yang diambil dari hutan bakau di Kampung Kedonganan di luar bandar Denpasar pada Jumaat lalu bagi menyucikan diri.

Ia diadakan sehari selepas Hari Nyepi yang mana seluruh Bali bergelap dan penduduk dilarang keluar dari rumah mereka selain penerbangan, lampu dan internet di kepulauan itu turut dimatikan.

Pada masa lalu, peserta berbogel ketika meraikan perayaan mandi lumpur tetapi pada pertengahan abad ke-20 penduduk mula tidak selesa untuk tidak berpakaian.

Perayaan itu dihentikan selama enam dekad sebelum ia diadakan kembali pada tiga tahun lalu atas pemahaman bahawa konsep ritual itu akan berubah sekiranya peserta dibenarkan memakai pakaian.

Penduduk kampung dari semua peringkat umur akan melumurkan lumpur pada sesiapa sahaja di sekitar mereka selepas selesai upacara sembahyang bagi memperoleh keselamatan dan nasib baik.

Selepas ritual mandi lumpur, mereka menuju ke pantai berdekatan untuk bersama-sama membilas kotoran di badan mereka selain membuang roh jahat. – AFP, 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen