Bayi remaja Britain sertai Daesh meninggal dunia di Syria


Bayi Shamima Begum meninggal dunia akibat pneumonia. – Gambar BBC, 9 Mac, 2019.

ANAK remaja Britain yang menyertai kumpulan militan Daesh, Shamima Begum meninggal dunia di Syria, kata Pasukan Demokrasi Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Begum, 19, yang dilucutkan kerakyatannya oleh negara asalnya, melahirkan anaknya itu pada bulan lepas di sebuah kem pelarian di timur laut Syria.

BBC melaporkan bayi itu meninggal dunia akibat pneumonia.

Begum mempunyai dua orang anak sebelum ini, tetapi kedua-duanya meninggal akibat kekurangan zat makanan.

Jurucakap SDF, Mustefa Bali mengesahkan berita kematian anak ketiga Begum itu tetapi enggan mengulas lanjut bila dan bagaimana ia berlaku. Mustefa sebelum ini menafikan berita itu di Twitter, tetapi kemudian memadam entri tersebut.

Kes Begum ini merupakan dilema yang dihadapi banyak negara di Eropah, yang terbahagi antara sama ada membenarkan militan dan penyokong IS pulang semula untuk didakwa atau melarang mereka atas sebab keselamatan.

Begum yang meninggalkan London ketika berusia 15 tahun untuk ke Syria bersama dua lagi rakannya, pada bulan lepas berkata mahu kembali ke Britain selepas melarikan diri dari pertempuran antara kumpulan Daesh dengan tentera AS di Syria. – AFP, 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen