PAKATAN Harapan (PH) yakin dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa wakil bebas, ia akan menjayakan usaha penggubalan undang-undang yang memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen, kata Liew Vui Keong.
Menteri hal ehwal undang-undang itu berkata antara undang-undang yang diteliti oleh Putrajaya ialah pengurangan umur mengundi hingga 18 tahun, had tempoh perdana menteri selama dua penggal dan membuat perubahan kepada Perlembagaan yang akan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia.
“Kita mempunyai 135 orang ahli Parlimen. GPS mempunyai 19 tetapi mereka bukan dengan Barisan Nasional (BN). Mereka kini adalah blok bebas.
“Selama ini mereka memberitahu semua yang mereka mesra PH. Jadi, kita boleh berharap kepada mereka,” kata Liew kepada The Malaysian Insight baru-baru ini menjelang sidang Parlimen baharu yang bermula pada Isnin.
GPS, yang mengawal kerajaan Sarawak, dibentuk sebulan selepas pilihan raya umum lalu. Ia terdiri daripada komponen BN negeri yang keluar daripada pakatan itu.
PH dan sekutunya, Warisan Sabah, kekurangan 13 ahli Parlimen daripada 148 undi yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga di Parlimen berjumlah 222 kerusi.
Liew juga merujuk kepada lima ahli Parlimen Umno di Sabah baru-baru ini, yang diketuai oleh Ronald Kiandee (Beluran), menyatakan niat mereka untuk menyertai Bersatu.

“Pada masa ini, secara rasmi, pembangkang adalah BN, iaitu Umno, MIC dan MCA. Dan kita ada PAS.
“Semua ini (parti) seperti GPS adalah bebas. Terdapat 19 di kalangan mereka. Kita juga mempunyai ahli Parlimen daripada Star dari Keningau. Saya fikir ada beberapa anggota Parlimen bebas. Kita menghampiri untuk memperoleh 148 (undi).”
Liew berkata PH akan membawa usul untuk mengurangkan usia mengundi dari 21 kepada 18 dalam mesyuarat pertama tahun ini, yang memerlukan pindaan Perkara 195 dalam Perlembagaan.
Beliau berkata PH juga sedang berusaha untuk mengehadkan tempoh bekrhidmat perdana menteri dan meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan rakan kongsi Semenanjung Malaysia setara.
Beliau tidak dapat memberikan angka tepat kerana kebanyakan ahli Parlimen yang meninggalkan Umno tidak secara rasmi memaklumkan Parlimen mengenai status mereka.
“Saya harap beberapa ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan parti mereka memaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat mengenai status mereka.
“Jika anda bukan lagi pembangkang dan bebas, maka anda berada di dalam blok bebas, tetapi jika anda memutuskan untuk menyertai PH, anda akan duduk di blok PH.
“Pada masa ini agak mengelirukan, kerana saya diberitahu oleh sekretariat Parlimen bahawa tada pengesahan rasmi daripada mereka. Apa yang mereka lakukan ialah mereka hanya memberi kenyataan akhbar,” katanya merujuk kepada beberapa ahli Parlimen di Sabah.
Mesyuarat Parlimen akan datang bermula pada Isnin dan akan berlangsung sehingga 11 April. – 10 Mac, 2019.
Komen