RAKYAT Palestin tetap menunaikan solat di bangunan dalam kawasan masjid Al-Aqsa semalam, tanpa mengendahkan usaha Israel menghalang akses ke bahagian itu di tapak suci berkenaan.
Baru-baru ini berlaku pertembungan antara jemaah dan polis Israel di kawasan itu berhubung penggunaan bangunan sisi di dalam tapak suci dipanggil Golden Gate, yang ditutup oleh Israel sejak 2003.
Mendakwa tiada lagi keperluan menutupnya, pihak berkuasa di kawasan itu membuka bangunan berkenaan bulan lalu dan jemaah bersembahyang di dalamnya.
Mahkamah Jerusalem minggu ini memberi tempoh kepada organisasi Waqf yang mentadbir tapak itu hingga 10 Mac untuk menjelaskan mengapa arahan penutupan itu sepatutnya dihentikan.
Waqf tidak mengiktiraf mahkamah Israel.
Ketua Pengarah Waqf Azzam al-Khatib berkata kira-kira 40,000 jemaah menunaikan solat Jumaat semalam. Sejumlah kecil memasuki bangunan Golden Gate dan bersolat di situ.
Polis Israel mengerah anggotanya dengan bersenjata di depan semua pintu masuk ke kawasan masjid walaupun solat berlangsung tanpa sebarang insiden. – AFP, 9 Mac, 2019.
Komen