Benarkan mereka pulang sementara rundingan dibuat, kata PAS, Umno


Looi Sue-Chern

Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir dan pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusoff melawat penyewa yang membuat bantahan di luar Komtar hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 8 Mac, 2019

UMNO dan PAS Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri untuk membenarkan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis pulang ke rumah masing-masing.

Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir dan pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusoff berkata, mereka sepatutnya dibenarkan kembali ke flat mereka sebelum meneruskan rundingan dengan pihak berkuasa.

Musa berkata beliau tidak faham mengapa pihak berkuasa negeri tidak dapat mengadakan perbincangan lanjut dengan penyewa, yang kini tinggal seperti pelarian di luar Komtar sejak rumah mereka dikunci pada Rabu.

“Bagaimana kamu boleh berikan mereka tiga hari untuk balik dan berkemas? Biarkan mereka tinggal buat sementara waktu sementara perbincangan dibuat lagi. 

“Pihak berkuasa masih boleh pergi dari rumah ke rumah untuk memeriksa sama ada mereka layak atau tidak untuk terus tinggal di sini.

“Sekiranya mereka menemui orang yang lebih layak, kami akan sokong tindakan diambil ke atas mereka. Usir mereka yang berkemampuan tetapi jangan usir orang miskin,” katanya kepada pemerita ketika melawat penyewa terbabit  di Komtar malam ini.

Enam keluarga bertindak berkampung di luar Komtar, yang terletaknya pejabat kerajaan negeri sejak Rabu lalu bagi membantah pengusiran mereka.

Mereka merupakan antara 22 keluarga yang menerima notis untuk kembalikan unit PPR kepada Jabatan Perumahan selepas mereka didapati tidak lagi layak untuk tinggal di situ. 

Penyewa PPR hilag kelayakan untuk tinggal di unit rumah berkenaan yang mana kadar sewanya ialah RM100, selepas gagal membayar tunggakan sewaan, sedangkan pendapatan mereka melebihi kelayakan; selepas mereka didapati memiliki hartanah sendiri atau berkahwin dengan warga asing.

Musa berkata inside terbabit tidak pernah berlaku ketika BN berkuasa.

Beliau menggesa kerajaan negeri untuk mengambil nasihat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan penyewa yang terlibat.

Fauzi berkata, sebahagian daripada penyewa terbabit adalah warga emas dan kanak-kanak, yang mana rumah mereka dikunci tanpa diberikan bekalan ubatan mereka dan seragam sekolah.

“Ini tidak betul. Di mana nilai kemanusiaan?

“Sebelum ini pemaju yang buat perkara ini kepada masyarakat, sekarang kerajaan negeri. Ke mana rakyat nak mengadu?”

Fauzi turut bersetuju dengan Musa bahawa mereka sepatutnya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, dan menambah kerajaan negeri perlu pertimbangkan perbezaan antara miskin bandar dan luar bandar.

Miskin bandar katanya, sukar untuk membuat simpanan wang walaupun pendapatan mereka lebih tinggi berbanding RM1,500, yang merupakan pendapatan yang layak bagi penyewa PPR.

“Dengan kos sara hidup di bandar, pendapatan isi rumah RM1,500 hanya sedikit atau tiada langsung untuk simpanan.”

Beliau turut menyaahkan kerajaan negeri kerana gagal membina kediaman untuk golongan miskin.

“Kami perlu bina kediaman untuk orang miskin, bukan mengusir mereka untuk berikan peluang kepada rakyat miskin lain dalam senarai menunggu.

“Kita lihat banyak rumah yang mahal. Tetapi kebanyakan orang tempatan dan Melayu tidak mampu memilikinya,” katanya.

Terdahulu hari ini, kerajaan negeri membenarkan penyewa pulang ke rumah mereka selama tiga hari untuk mengemas barang-barang mereka. Pada Isnin mereka perlu kembalikan unit kediaman itu kepada pihak berkuasa.

Namun oleh kerana pihak kerajaan negeri tidak menawarkan penyelesaian terhadap masalah perumahan mereka, mereka menolak tawaran itu.

Terdahulu, ketua Bersatu bahagian Tanjong Kamal Fairos dalam satu kenyataan berkata, penyewa tidak akan dibiarkan tanpa rumah selepas pengusiran.

Katanya, mereka ditawarkan penginapan di hotel Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) namun mereka menolak. – 8 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen