WARIS penumpang penerbangan MH370 hari ini menuntut jawapan kepada salah satu misteri penerbangan terbesar dunia dan menggesa pencarian diteruskan, selepas lima tahun kehilangan pesawat itu.
Pesawat Malaysia Airlines hilang pada 8 Mac, 2014 membawa 239 penumpang – kebanyakannya warga China – dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Tiada sebarang petunjuk di zon pencarian berkeluasan 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, dan pencarian yang diketuai Australia serta yang paling besar dalam sejarah penerbangan itu digantung pada Januari, 2017.
Syarikat eksplorasi Amerika Syarikat melancarkan pencarian swasta pada tahun lalu namin ditamatkan selepas beberapa bulan membuat pencarian di dasar laut tanpa sebarang petunjuk.
Kira-kira 50 waris penumpang China datang ke Beijing dari seluruh dunia untuk ulang tahun dan berkumpul di luar kementerian luar, sambil dipantau oleh beberapa anggota polis.
Hu Qiufang memberitahu AFP, waris keluarga penumpang terbabit merayu untuk berjumpa dengan menteri luar sejak tahun lalu namun mereka hanya dbenarkan bertemu dengan pegawai berpangkat rendah hari ini, yang memaklumkan kepada mereka tiada sebarang perkembangan.
“Kerajaan China tidak pedulikan kami, kami rasa sangat tidak berdaya,” kata waris berusia 78 tahun itu yang kehilangan anak lelakinya dalam pesawat terbabit.
“Sebagaimana negara kita, China sepatutnya menyokong keluarga.”
Jiang Hui yang ibunya menaiki pesawat berkenaan berkata, sehingga kini beliau dihantui tragedi itu: “Ia umpama hidup dalam mimpi ngeri, ia sentiasa terimbas dalam ingatan saya.”
Sementara itu, waris keluarga Malaysia menggesa pencarian dimulakan semula.
Mereka diberikan harapan minggu lalu ketika ulang tahun memperingati tragedi itu di Kuala Lumpur apabila menteri pengangkutan Malaysia berkata beliau terbuka untuk mendengar cadangan bagi menyambung semula pencarian.
“Kami akan terus melakukan apa yang termampu bagi memastikan pencarian diteruskan,” kata Grace Nathan yang ibunya, Anne Daisy turut menaiki pesawat malang itu.
“Selagi ada kemungkinan untuk pencarian, kami sentiasa berharap pesawat berkenaan ditemui.”
Jacquita Gonzales yang suaminya, Patrick Gomes merupakan pramugara penerbangan MH370 berkata, “setiap kali tiba bulan Mac seperti baru semalam orang yang kita sayang hilang – ia sangat sukar.”
Dalam laporan akhir tragedi itu yang dikeluarkan Julai tahun lalu, pasukan penyiasat rasmi meletakkan kesalahan kepada kegagalan pengawal trafik udara dan berkata laluan pesawat itu ditukar secara manual.
Namun mereka gagal mendapatkan sebarang kesimpulan kukuh, menyebabkan waris berang dan kecewa. – AFP, 8 Mac, 2019
Komen