PIHAK berkuasa India hari ini meletupkan banglo milik jutawan dan tukang emas kepada pelakon-pelakon terkenal, Nirav Modi.
Banglo seluas 33,000 kaki persegi di Mumbai itu, dipercayai bernilai AS$14 juta. Ia disita selepas Modi didakwa terlibat penipuan bank besar-besaran yang menggemparkan golongan korporat India.
“Kami merobohkan struktur bangunan menggunakan dinamit,” kata Bharat Shitole, pegawai kerajaan di Maharashtra.
Video rakaman yang disiarkan di saluran-saluran berita India menunjukkan banglo itu runtuh dalam masa beberapa saat.
Modi, 48, memiliki rangkaian kedai emas di beberapa bandar utama di seluruh dunia. Antara pelanggan Modi sebelum ini ialah Naomi Watts, Kate Winslet dan Priyanka Chopra-Jonas.
Dia melarikan diri dari India pada Februari 2018 selepas dituduh memainkan peranan utama dalam penipuan AS$1.8 bilion (RM7 bilion) melibatkan bank kedua terbesar di India, Punjab National Bank (PNB).
Modi, pakciknya dan rakan kongsinya, Mehul Choksi yang juga saudagar berlian, didakwa menipu PNB melebihi AS$40 juta.
Menurut pihak berkuasa, mereka memindahkan sebahagian besar wang secara haram untuk melabur di syarikat asing.
Choksi melarikan diri ke Antigua, manakala Financial Times pada Jun tahun lalu melaporkan Modi berada di Britain. – AFP, 8 Mac, 2019.
Komen