TUJUH penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Pulau Pinang telah melantik seorang peguam untuk mencabar pengusiran mereka.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pengusiran mereka adalah tidak sah kerana dibuat tanpa perintah mahkamah.
Ia bertentangan dengan Seksyen 7 (2) Akta Bantuan Khusus 1950 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, katanya dan menambah setiausaha kerajaan negeri Farizan Darus telah dimaklumkan berhubung perkara itu menerusi notis hari ini.
“Kerajaan negeri telah menceroboh dan melakukan jenayah dengan mengugut orang.
“Mereka mengugut untuk mengunci mereka dalam rumah sekiranya mereka enggan bekerjasama ketika pengusiran pada Rabu.
“Sekiranya ini benar, mereka boleh disaman,” katanya kepada pemberita di Komtar yang mana enam daripada tujuh keluarga berkampung sebagai menyatakan bantahan mereka berhubung pengusiran itu.
Khairul Azam, yang sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan berkata, penyewa telah dimaklumkan mereka mempunyai hak. teapi sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan diketahui minggu hadapan.
Menurutnya, perbincangan dengan pihak berkuasa negeri kini hanya akan dibuat menerusi peguam.
Terdahulu hari ini, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan penyewa kembali ke kediaman mereka selama tiga hari sehingga Isnin ini untuk mmengemas barangan mereka.
Jabatan Perumahan negeri telah mengunci rumah mereka pada Rabu.
“Mereka perlu faham, mereka tidak boleh lagi tinggal di situ. Kami akan berikan unit berkenaan kepada mereka yang memerlukan,” kata exco perumahan Jagdeep Singh Deo kepada The Malaysian Insight.

Namun penyewa yang berdegil menolak tawaran itu kerana ia tidak menyelesaikan masalah perumahan mereka.
Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata beliau dipanggil ke pejabat Jabatan Perumahan di Komtar oetang ini dan diminta menandatangani beberapa dokumen untuk membuka kunci rumahnya.
“Tetapi mereka tidak benarkan saya membaca dokumen itu, dan mengatakan ia hanya formaliti sekiranya ada barangan hilang daripada rumah saya sejak mereka menguncinya.
“Saya hubungi peguam dan bertanya apa yang patut saya lakukan. Peguam minta saya mengambil gambar dokumen itu, tetapi pegawai jabatan berkenaan tidak benarkan kerana dokumen itu sulit.
“Macam mana saya nak tandatangan? Apa yang akan berlaku selepas tiga hari? Saya masih tidak memiliki rumah pada Isnin.
“Jadi, tawaran tiga hari itu batal,” katanya.
Sementara itu, suami Nazrimah, Mohd Kadim Kutnan, 51 berkata, beliau tidak tahu apa-apa, kecuali mereka tiada pilihan tetapi terpaksa melawan dan berharap untuk penyelesaian masalah rumah mereka.
“Kini kita ada peguam untuk bantu. Kita perlu lihat bagaimana perkembangan nanti,” kata warga Indonesia itu.
Taraf kewarganegaraan Kadim membolehkan keluarganya tidak layak untuk tinggal di PPR.
Pasangan itu mempunyai lapan orang anak, tujuh orang tinggal bersama mereka. Anak perempuan mereka yang bersekolah Tingkatan 2 akan menduduki peperiksaan pada Isnin.
“Ketua menteri dan Jagdeep perlu datang dan jumpa dengan kami untuk berunding,” kata Kadim merujuk kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Seorang lagi penyewa Teoh Koon Beng, 65 berkata tidak mungkin beliau dapat mencari rumah lain untuk disewa dalam masa tiga hari.
Menyewa rumah lain akan memakan belanja RM500 hingga RM600 sebulan, yang mana katanya ia terlalu besar baginya yang tidak memiliki pendapatan.
“Bukan saya tidak mahu terima pengusiran ini. Saya cuma perlukan masa untuk selesaikan masalah lain dan mencari tempat untuk berpindah.
“Bagaimana kamu mahu berkemas dalam masa tiga hari? Seminggu pun tak cukup,” katanya yang merupakan bekas peniaga yang tinggal bersama isterinay di flat berkenaan.
Teoh berkata, beliau tidak pernah berhutang sewa sepanjang 12 tahun tinggal di Taman Manggis, tetapi cara rumahnya dikunci pada Rabu seolah-olah beliau banyak berhutang bayaran sewa.
“Mereka kata saya tidak boleh tinggal di sini kerana saya ada rumah, tetapi ia sudah tiada sekarang.” – 8 Mac, 2019
Komen