Venezuela tolak cadangan EU timbang semula usir duta Jerman


Ketegangan tercetus di Venezuela apabila Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden pada 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin. – Gambar EPA, 8 Mac, 2019.

VENEZUELA semalam menolak cadangan Kesatuan Eropah (EU) yang mahu negara itu mempertimbangkan semula keputusannya mengusir duta Jerman, lapor agensi berita Xinhua.

“Venezuela berharap EU sedar dan tidak mencampuri urusan dalaman kita, tindakan kesatuan itu jelas mencerminkan ia cuma menggunakan strategi serangan yang sama dengan Washington dan menyokong tindakan melampau serta tidak berperlembagaan oleh pembangkang,” kata Menteri Luar Negeri Venezuela Jorge Arreaza.

Pada Rabu, Venezuela mengisytiharkan Duta Besar Jerman Daniel Martin Kriener sebagai persona non grata kerana didakwa cuba mencampuri urusan pentadbiran negara dan diberikan tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara itu.

Kriener antara beberapa duta besar negara lain yang dilihat berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Juan Guaido, selepas pemimpin pembangkang itu melawat beberapa negara Amerika Latin yang menyokongnya.

“Kami kecewa dengan tindakan Venezuela mengusir duta terbabit dalam keadaan politik yang tegang dan kompleks,” kata jurucakap dasar luar EU, Mica Kocijancic pada Khamis.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu, ketika Presiden Nicolas Maduro mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden untuk penggal kedua, menyaksikan majlis itu diboikot pembangkang.

Ketegangan tercetus apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, Iran, Cuba, China dan Bolivia pula menyokong Maduro dan negara itu berikrar memutuskan semua hubungan diplomatik dengan AS. – Bernama, 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen