Tentera AS diminta sedia pusat perlindungan 5,000 kanak-kanak migran


Pentadbiran bagi Kanak-kanak dan Keluarga HHS pada Khamis berkata ketika ini, mereka mempunyai kira-kira 11,500 kanak-kanak warga asing dalam tahanan. – Gambar EPA, 8 Mac, 2019.

PENTADBIRAN Amerika Syarikat (AS) meminta Jabatan Pertahanan bersiap siaga untuk menempatkan sehingga 5,000 kanak-kanak migran susulan “krisis” yang semakin memuncak di sempadan AS-Mexico, kata Pentagon.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) “meminta bantuan Jabatan Pertahanan untuk mengenal pasti ruang bagi menempatkan sehingga 5,000 kanak-kanak warga asing yang tidak ditemani di kawasannya, jika perlu, sehingga 30 September, 2019”, kata jurucakap Pentagon Leftenan Kolonel Jamie Davis.

“Jabatan Pertahanan akan bekerjasama dengan perkhidmatan tentera bagi mengenal pasti lokasi berpotensi dan akan bekerjasama dengan HHS untuk menilai sebarang fasiliti atau tanah Jabatan Pertahanan yang sesuai bagi menyediakan pusat perlindungan sementara kepada kanak-kanak warga asing yang tidak ditemani,” katanya.

Menurut Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), jumlah kanak-kanak bawah umur yang ditahan selepas memasuki AS secara haram tanpa keluarga pada Februari mencecah 6,825 orang, menyaksikan peningkatan daripada 5,119 pada Januari dan 4,968 pada Oktober.

CBP menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada Pentadbiran bagi Kanak-kanak dan Keluarga HHS yang berusaha menempatkan mereka dengan saudara mara atau ahli keluarga lain di AS sementara permohonan mereka untuk kekal di negara itu diproses, yang boleh mengambil masa sehingga dua tahun.

Pentadbiran bagi Kanak-kanak dan Keluarga HHS pada Khamis berkata ketika ini, mereka mempunyai kira-kira 11,500 kanak-kanak sedemikian dalam tahanan.

Pesuruhjaya Kastam dan Peronda Sempadan Kevin McAleenan pada Selasa berkata jumlah pendatang haram pada Februari telah melonjak pada tahap tertinggi sejak bertahun-tahun dengan 76,000 orang dihalang atau ditahan dan ini telah memberikan tekanan kepada fasiliti kerajaan.

Pada Rabu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen berkata mereka menjangkakan jumlah itu meningkat pada bulan-bulan akan datang. – Bernama, 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen