Pemuda Barisan Nasional desak PBB campur tangan krisis Rohingya


Noel Achariam

Pemuda Barisan Nasional diketuai Timbalan Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun (kiri) menghantar memorandum kepada Pejabat PBB Malaysia di Jalan Dungun, Bukit Damansara pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2017.

PEMUDA Barisan Nasional mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masuk campur dan menghentikan pembantaian etnik Rohingya di Myanmar.

Timbalan Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata PBB selaku agensi bertanggungjawab perlu bertindak aktif menangani isu Rohingya.

“Kami juga mahu ahli Asean dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bersama-sama menangani isu ini. Kita perlu terus memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk menghentikan kekejaman ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Pejabat PBB Malaysia di Jalan Dungun hari ini.

Memorandum itu diterima Penyeleras Residen PBB Stefan Priesner yang merupakan wakil organisasi dunia itu di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Khairul berkata dia diberitahu Priesner yang Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sangat komited untuk bertindak memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar.

“Kami diberitahu yang setiausaha agung sudah mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan Myanmar bertindak pantas menyelesaikan isu itu.

“PBB juga menulis kepada presiden Majlis Keselamatan supaya menangani isu itu.”

Khairul berkata isu itu bukan lagi krisis serantau tetapi krisis global dan kerana itu masyarakat antarabangsa perlu terlibat.

“Kami mahu memastikan ada keamanan dan keselamatan masyarakat rantau ini. PBB juga perlu mula menghantar misi pengaman ke Myanmar.

“Kami juga diberitahu yang kemudahan di Bangladesh perlu ditingkatkan dan dibesarkan supaya mereka boleh terima dan lindungi lebih ramai pelarian.

“Kita juga akan menghantar bantuan kemanusiaan.”

Khairul berkata dalam memerondum yang dihantar itu, mereka mahu PBB mengambil dua langkah segera berkaitan krisis Rohingya.

“Kami mendesak PBB mengadakan sesi khas tergempar bagi memberikan cadangan segera bagi menangani isu Rohingya seterusnya menyelesaikan masalah itu sehingga ke akar umbi.

“PBB perlu mewujudkan misi pengaman yang bermatlamat mengembalikan keamanan dan keselamatan serta menyelaras bantuan kepada Rohingya.”

Hampir 20 ahli BN turut hadir di bangunan PBB, Jalan Dungun, Bukit Damansara sekitar jam 10 pagi sebagai tanda sokongan.

Dilaporkan yang ratusan ribu pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas keganasan tercetus di Negeri Rakhine antara pasukan keselamatan Myanmar dan militan Rohingya pada 25 Ogos lalu.

PBB melaporkan sehingga kini 164,000 pelarian sudah memasuki Bangladesh.

Menurut laporan kumpulan hak asasi, Rohingya yang kebanyakannya adalah etnik minoriti berbangsa Islam tanpa warganegara itu sudah berdepan pencabulan hak asasi berdekad lamanya di Myanmar yang merupakan negara majoriti Buddha. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen