Pengusiran penyewa PPR Taman Manggis bukan isu perkauman, kata ketua menteri


Looi Sue-Chern

Kumpulan anti PH dan individu tertentu menggunakan tindakan pengusiran penyewa PPR Taman Manggis, Pulau Pinang sebagai isu hak Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh David S T Loh, 8 Mac, 2019.

PENGUSIRAN beberapa penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan isu kaum, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya menjalankan tugas dalam memastikan mereka yang tidak lagi layak tinggal di rumah pangsa PPR, keluar untuk memberi peluang kepada golongan yang memerlukan.

“Ia tindakan pentadbiran dibuat mengikut peraturan. Apa yang kami buat di Taman Manggis adalah tadbir urus yang baik.

“Jabatan Audit sebelum ini mempersoalkan Pulau Pinang kerana tidak mengikut standard dan prosedur dalam menguruskan unit PPR. Kami disoal kenapa kami membenarkan perkara ini (penyewa tidak layak menduduki rumah PPR) berlaku.

“Walaupun ada pihak memainkan sentimen perkauman dalam isu pengusiran ini, kami akan teruskan dasar penguatkuasaan kami,” katanya hari ini.

Kumpulan anti Pakatan Harapan (PH) dan individu tertentu sejak akhir-akhir ini menggunakan isu pengusiran itu untuk mengecam kerajaan negeri yang dipimpin DAP itu, menekankan isu hak Melayu susulan beberapa keluarga yang diusir, berkhemah di luar pejabat kerajaan di Komtar sebagai tanda protes.

Chow berkata menggunakan sentimen perkauman bukan perkara baharu.

“Apa pun yang kerajaan negeri buat, selalu dipandang salah dan menerusi sudut perkauman.”

Bagaimanapun, Chow berkata proses pengusiran itu berlaku dalam keadaan teruk dan usaha meyakinkan rakyat untuk berpindah, sangat sukar.

“Jika ada pihak lain dalam menyebarkan maklumat tidak berasas, penduduk mungkin rasa takut dan enggan bekerjasama. Kami terpaksa mempertimbangkannya dalam konteks ini.”

Chow berkata dengan penguatkuasaan tegas oleh pihak berkuasa perumahan, tujuh daripada 22 unit dapat ditarik balik.

“Sesetengah penyewa faham dan menerima keputusan itu, dan sanggup memulangkan unit itu. Kami harap yang lain akan sedar bahawa kami mengikut dasar.

“Lebih pun, kerajaan negeri sudah memberikan mereka rumah pada kadar mampu milik selama 10 tahun,” katanya. – 8 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen