MESYUARAT Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak memperakui pelantikan Mohamed Nazri Aziz sebagai setiausaha agung yang dilantik oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Pengerusi, Mohamad Hasan berkata berdasarkan perlembagaan parti itu, apa jua keputusan perlu dibentang di Dewan Tertinggi BN dan diputuskan secara konsensus termasuk melantik setiausaha agung.
Susulan itu kata Mohamad, BN memutuskan bahawa Tengku Adnan Tengku Mansor masih lagi setiausaha agung BN kerana tidak pernah meletak jawatan mahupun diberhentikan oleh Dewan Tertinggi BN.
“Apa jua keputusan perlu dibuat secara konsensus.
“Tengku Adnan masih setiausaha agung BN. Beliau tidak pernah letak jawatan atau diberhentikan. Sebelum ini (Nazri) bukan tidak sah cuma tidak diperakukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di ibu pejabat parti di PWTC hari ini.
MCA dan MIC sebelum ini menegaskan bahawa pelantikan Nazri sebagai setiausaha aung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti.
Kedua-dua komponen BN itu kemudian “mengancam” hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang.
Susulan daripada desakan tersebut, Nazri kemudiannya mengumumkan tidak akan menghadiri mesyuarat itu dan menyerahkan kedudukannya dalam BN kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya. – 8 Mac, 2019.
Komen