Petronas bayar dividen khas kerajaan RM30 bilion secara berperingkat


Ragananthini Vethasalam

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata ia mula mengagihkan pembayaran dividen khas kepada kerajaan sejak Januari lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2019.

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas), penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan, akan mengagihkan dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan dalam beberapa peringkat sepanjang tahun ini.

Syarikat minyak negara, yang mencatatkan baki tunai sebanyak RM181 bilion setakat 31 Disember 2011, mengumumkan dividen khas sebanyak RM30 bilion tahun lepas.

“Seperti yang anda lihat, kami mempunyai simpanan tunai yang besar yang merupakan hasil daripada pengurusan berhemat sepanjang tahun.

“Ini membolehkan Petronas mengisytiharkan RM30 bilion kepada para pemegang saham kami (kerajaan) tahun lepas,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wan Zulkiflee Wan Ariffin semasa pengumuman prestasi kewangan penuh tahun ini.

Wan Zulkiflee berkata Petronas mula mengagihkan pembayaran itu sejak Januari.

Dividen khas RM30 bilion menjadikan komitmen dividen keseluruhannya kepada kerajaan sebanyak RM54 bilion selepas syarikat itu mengumumkan pada Ogos ia akan menaikkan pembayaran dividennya kepada kerajaan sebanyak 50% kepada RM24 bilion untuk 2018, daripada RM16 bilion pada 2017.

Petronas menyaksikan lonjakan 22% keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, kepada RM55.3 bilion daripada RM45.5 bilion pada 2017.

Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 12% kepada RM251 bilion dalam tahun kewangan yang disemak, berbanding RM223.6 bilion pada 2017.

Ini disebabkan terutamanya oleh kenaikan purata harga yang tinggi bagi semua produk utama. Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS ditambah dengan impak jumlah jualan lebih rendah, terutamanya daripada LNG. – 8 Mac, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen