Venezuela bergelap, bekalan elektrik terputus


Venezuela bergelap semalam selepas bekalan elektrik dipotong besar-besaran di mana Presiden Nicolas Maduro berkata ia akibat sabotaj. – Gambar EPA, 8 Mac, 2019.

HAMPIR keseluruhan Venezuela bergelap semalam selepas bekalan elektrik dipotong besar-besaran di mana Presiden Nicolas Maduro berkata ia adalah “sabotaj”.

Selain beberapa bangunan yang mendapat bekalan elektrik daripada generator persendirian, wartawan AFP berkata ibu kota Caracas betul-betul bergelap pada 4.50 petang, sebelum malam tiba.

Ia termasuk perkhidmatan metro, telefon dan Internet. Menjadi antara bandar paling bahaya dunia, jalan-jalan di Caracas biasanya lengang apabila malam.

Laporan berita tempatan berkata bekalan elektrik menjejaskan hampir seluruh negara.

“Mereka sabotaj generator berpusat, ia sebahagian daripada perang elektrik terhadap kerajaan,” kata syarikat elektrik kerajaan CORPOELEC menerusi Twitter.

“Kami sedang berusaha memulihkan perkhidmatan.”

Generator hidroelektrik berpusat di Guri, di timur Bolivar, antara paling penting di Amerika latin, selain di Itaipu, sempadan antara Brazil dan Paraguay.

Bekalan elektrik terputus sering berlaku di Venezuela, yang berdepan dengan krisis ekonomi.

Pakar menyalahkan kerajaan kerana kurang membuat pelaburan dalam infrastruktur, sementara rejim berkata ia kerana pensabotaj, tanpa menjelaskan siapa mereka yang bertanggungjawab itu.

Setahun lalu, Maduro meminta pasukan tentera menyediakan khidmat keselamatan untuk melindungi generator hidroelektrik negara, tetapi bekalan elektrik masih terus-terusan terputus. – AFP, 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen