AS yakin program senjata nuklear Korea Utara berjaya ditamatkan


Pemerintahan Donald Trump akan berakhir pada Januari 2021, kecuali jika beliau dipilih semula. – Gambar EPA, 8 Mac, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) yakin program penghapusan senjata nuklear Korea Utara masih mampu dilaksanakan menjelang saat akhir penggal pertama Presiden Donald Trump pada 2021, walaupun sidang kemuncak terbaru bersama Kim Jong Un tidak mencapai kejayaan.

Seorang pegawai kanan kerajaan berkata Washington akan meminta penjelasan Pyongyang berhubung pembinaan tapak pelancaran roket jarak jauh dan setakat ini mereka masih tidak dapat merumuskan dengan tepat situasi sebenar di negara itu.

Laman web khas, 38 North serta Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa menggunakan imej komersil satelit untuk mengesan pembinaan di tapak itu yang dikatakan bermula sebelum sidang kedua antara Kim dan Trump di Hanoi minggu lalu.

Imej yang dirakam pada 6 Mac menunjukkan sebuah struktur tinggi untuk memindahkan roket ke pad pelancar sudah siap dibina dan mungkin berfungsi sepenuhnya.

Kim sebelum ini bersetuju untuk menutup Stesen Pelancar Satelit Sohae dalam sidang kemuncak bersama Presiden Korea Selatan Moon Jae In di Pyongyang sebagai sebahagian daripada usaha membina keyakinan antara kedua-dua negara.

Pegawai terbabit yang enggan dikenali, memetik semula kenyataan presiden beliau akan berasa amat kecewa jika aktiviti di tapak berkenaan terbukti benar.

“Kami mengikuti rapat sebarang perkembangan di Sohae dan tidak tahu mengapa mereka mengambil langkah seperti ini,” katanya.

Trump dan Kim dalam pertemuan di Hanoi bulan lalu gagal mencatatkan sebarang perkembangan atau hadir pada sesi kenyataan bersama.

Bagaimanapun pegawai berkenaan berkata, mereka positif objektif penghapusan nuklear di Korea Utara akan dicapai menjelang tempoh akhir presiden.

Pemerintahan Trump akan berakhir pada Januari 2021, kecuali jika beliau dipilih semula. – AFP, 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen