Britain beri status 'perlindungan diplomatik' kepada ibu dipenjara di Iran


Richard Ratcliffe (kanan), suami Nazanin Zagari-Racliffe ketika mengadakan sidang akhbar di London, Britain pada November 2017. Ratcliffe berusaha mendapatkan perlindungan diplomatik bagi isterinya yang dipenjarakan di Iran. – Gambar EPA, 8 Mac, 2019.

UNITED Kingdom (UK) pada Khamis memberikan status “perlindungan diplomatik” kepada Nazanin Zaghari-Ratcliffe, seorang warga Britain-Iran yang dipenjara di Tehran sejak 2016, menyebut mengenai kekurangan proses dan akses kepada rawatan perubatan.

“Saya hari ini memutuskan UK akan mengambil langkah yang sangat luar biasa dan menjalankan perlindungan diplomatik,” kata Setiausaha Luar Negara Jeremy Hunt dalam satu kenyataan.

“Ini mewakili pengiktirafan formal kerajaan Britain terhadap kegagalan Iran memenuhi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa dan menaikkannya kepada isu rasmi negara.”

Perlindungan diplomatik adalah mekanisme jarang digunakan yang membolehkan negara mendapatkan perlindungan bagi pihak rakyatnya atas dasar mereka dianiaya oleh negara lain, menurut pejabat luar negara Britain.

Hunt berkata beliau “tidak mengambil keputusan ini dengan ringan” tetapi mempertimbangkan “rawatan yang tidak dapat diterima” Zaghari-Ratcliffe selama tiga tahun dalam tahanan.

“Kita juga tidak dapat memastikan rawatan perubatan yang diperlukannya walaupun terdapat jaminan,” katanya.

Zaghari-Ratcliffe menderita masalah kesihatan, termasuk menjalani ujian untuk kanser payudara dan beberapa serangan panik, sementara keadaan emosinya semakin memburuk ketika terkurung.

Merupakan pengurus projek dengan Yayasan Thomson Reuters, cabang amal kumpulan media itu, beliau ditangkap pada April 2016 ketika meninggalkan Iran selepas membawa bayi perempuannya untuk melawat keluarga.

Beliau dijatuhi hukuman lima tahun penjara pada September 2016 kerana dakwaan menghasut.

Zaghari-Ratcliffe, Yayasan Thomson Reuters dan kerajaan British secara konsisten menafikan dakwaan terhadapnya.

Hunt berkata keputusan pada Khamis adalah “langkah diplomatik yang penting” sebagai memberi isyarat kepada Tehran yang “tindakannya benar-benar salah”.

Bagaimanapun beliau mengakui  tindakan itu bukanlah memberi kesan serta merta dan dan mengulangi gesaan bagi pembebasannya.

“Saya tahu terdapat banyak pihak di Iran yang memahami ketidakadilan dalam situasi ini.

“Tiada kerajaan patut menggunakan individu tidak bersalah sebagai gadaian untuk manfaat diplomatik, jadi saya menyeru Iran agar melepaskan wanita tidak bersalah itu supaya beliau dapat bersatu semula dengan keluarganya,” katanya.

Suami Zaghari-Ratcliffe Richard berusaha mendapatkan pertolongan Hunt dan setiausaha luar negara sebelum ini Boris Johnson bagi perlindungan diplomatik untuk isterinya sejak 2017. – AFP, 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen