Putrajaya tidak pertimbang undang-undang derhaka seperti Thailand, kata Liew


Bede Hong

Kerajaan akan meminda beberapa undang-undang sedia ada untuk mengukuhkan perlidungan kepada raja-raja Melayu daripada dikritik dan dihina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac 2019.

MALAYSIA tidak bercadang menggubal undang-undang derhaka atau lèse-majesté untuk melindungi raja-raja Melayu daripada dikritik, sama seperti yang ada di Thailand, kata menteri undang-undang Liew Vui Keong.

Kerajaan sebaliknya akan meminda beberapa undang-undang sedia ada untuk mengukuhkan perlidungan kepada raja-raja Melayu daripada dikritik dan dihina, katanya.

Undang-undang derhaka diamalkan di Thailand, Kemboja dan di beberapa negara di Eropah. Di Thailand, mereka yang memfitnah, menghina atau mengugut keluarga diraja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Laporan Bernama, baru-baru ini memetik Liew berkata kerajaan tidak akan meniru undang-undang derhaka seperti di Thailand tetapi tidak menolak kemungkinan undang-undang seperti itu diperkenalkan pada masa depan.

Liew bagaimanapun menafikan membuat kenyataan seperti itu dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Saya hendak jelaskan, ketika saya jawab soalan tentang lèse-majesté, saya tidak pernah kata ia akan dipertimbangkan.

“Apa yang saya kata, ia tidak akan dipertimbangkan sebabnya kita tidak akan timbang untuk ada undang-undang lèse-majesté di Malaysia. Titik,” katanya.

Jelas Liew, Putrajaya pada masa ini sedang meneliti untuk meminda Kanun Kesiksaan dan menambah peruntukan baru sebelum ia memansuhkan Akta Hasutan, yang kini digunakan bagi mendakwa kesalahan menghina institusi diraja.

Menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata Putrajaya tidak akan meniru undang-undang derhaka seperti di Thailand tetapi tidak menolak kemungkinan undang-undang seperti itu diperkenalkan pada masa depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Mac, 2019.

“Kita hendak meminda Kanun Kesiksaan untuk masukkan beberapa peruntukan dalam Akta Hasutan ke dalam Kanun Kesiksaan, setakat yang ada kaitan dengan peruntukan mengenai raja-raja.

“Dalam aspek ini, lèse-majesté tidak akan dipertimbangkan.”

Liew tidak menyatakan bila Akta Hasutan akan dimansuhkan.

“Pada masa ini, Kabinet sudah bincang dengan giat untuk mansuhkan Akta Hasutan tetapi keputusan dibuat selepas menimbang semua faktor yang relevan,” katanya.

Beliau menambah kerajaan juga akan melihat undang-undang lain yang diperlukan bagi menggantikan peruntukan dalam Akta Hasutan mengenai raja-raja Melayu.

Suka atau tidak, sistem kita ialah raja berperlembagaan. Raja-raja adalah yang paling tinggi dalam sistem. Jadi mustahak untuk raja-raja dilindungi.

“Namun tentulah pada masa sama kita juga pastikan raja-raja tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang mungkin beri kesan kepada rakyat yang juga ada hak untuk memberi komen, selagi ia dibuat mengikut undang-undang,” tambah beliau. – 8 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen