HUKUMAN mati mungkin tidak dimansuhkan sepenuhnya, kata menteri undang-undang Liew Vui Keong, sebaliknya hakim akan diberi ruang untuk menggunakan budi bicara mereka menentukan bentuk hukuman sesuai bagi pesalah yang berdepan dengan hukuman berat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kerajaan akan mengotakan janji menghapuskan hukuman mandatori bagi jenayah yang termaktub dalam lapan undang-undang, namun selepas perbincangan dengan pihak pemegang taruh, kerajaan melihat ada tiga kemungkinan mengenai hukuman mati.
Pertama, menghapuskan sepenuhnya hukuman mati; kedua, memberi hakim budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati, dan ketiga, memberi hakim budi bicara untuk mengenakan hukuman mati bagi kesalahan tertentu seperti bunuh dan menghapuskannya bagi kesalahan melibatkan dadah.
“Semua kemungkinan ini masih dalam pertimbangan,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.
“Kami sudah melibatkan pelbagai pemegang taruh. Saya sudah bertemu dengan waris mangsa bunuh dan bertemu juga dengan ahli keluarga banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati.
“Jadi pendekatannya boleh jadi agak berbeza. Bagi waris mangsa bunuh, mereka masih merasai kepedihan dan penderitaannya. Mangsa itu mungkin pencari nafkah untuk keluarga. Memang agak menyeksakan.”
Liew bagaimanapun menambah jemaah menteri juga bertanya apakah keputusan mahkamah tidak salah.
“Kita perlu mengambil kira perasaan (ahli keluarga) tetapi sudah tentu kita tidak tahu apakah proses mensabitkan seseorang melalui mahkamah 100% terjamin. Mungkin akan ada kesilapan manusia.”
Liew mengingatkan bagaimana dalam sistem keadilan di Amerika Syarikat ada pesalah yang dibebaskan selepas bukti ujian DNA melepaskan mereka daripada sabutan jenayah berat seperti bunuh.
“Kalau itu boleh berlaku dalam satu kes di Malaysia, hati nurani kita akan mengatakan bahawa kita tidak boleh menggantung seseorang, dalam konteks itu, kerana kita tidak boleh pasti 100% dia bersalah.
“Ada kata pujangga: lebih baik membebaskan 100 orang yang bersalah daripada menghukum mati seorang yang tidak bersalah. Kalau seorang yang tidak bersalah dihukum mati, hati kecil kita tidak akan dapat menerimanya.”
Undang-undang yang mengenakan hukuman mati termasuk kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri (Seksyen 121A Kanun Kesiksaan); kesalahan keganasan (Seksyen 130C Kanun Kesiksaan); tebusan yang menyebabkan kematian (Seksyen 374A Kanun Kesiksaan); dan melepaskan tembakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan (Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971).
Bagaimanapun kebanyakan sabitan hukuman mati di Malaysia adalah bagi kesalahan bunuh (Seksyen 302 Kanun Kesiksaan) dan mengedar dadah (Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952), kata Liew.
Pada hujung 2017, kerajaan sebelum ini memindah Seksyen 39B untuk menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah. Sebagai ganti, hakim diberikan kuasa penuh budi bicara untuk menjatuhkan hukuman. Pindaan itu bagaimanapun tidak terpakai secara retrospektif bagi sabitan sebelumnya.
Hakim sekarang dikehendaki memenuhi beberapa syarat untuk mengurangkan hukuman daripada mati kepada penjara seumur hidup manakala pendakwa raya perlu mengeluarkan sijil mengesahkan pesalah telah memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa.
Menurut Liew, pada masa ini ada 66,222 banduan di seluruh negara, dengan 1,281 daripadanya menunggu hukuman mati.
Lebih separuh daripada mereka, atau 56%, adalah pesalah kes dadah, melibatkan 923 kesalahan mengedar dadah. Bakinya adalah mereka yang disabitkan jenayah bunuh manakala 19 adalah pesalah yang terlibat dalam serangan ke atas Lahad Datu pada 2013.
Tambah Liew, proses hukuman mati tidak semudah yang disangka banyak orang.
Katanya, ia mengambil masa – kadang-kadang sampai 10 tahun – sebelum perintah pelaksanaan hukuman ditandatangani oleh Agong atau Sultan bagi negeri berkenaan.
Semua faktor itu perlu diambil kira apabila kerajaan memutuskan kedudukan hukuman mati, kata Liew.
“(Bagi pesalah kes dadah) Sesetengah mereka hanya keldai dadah. Mereka bukannya anggota sindiket tetapi merekalah yang kini menunggu hukuman mati.” – 8 Mac, 2019.
Komen