Kelantan terima baki royalti lepas batal saman, kata Azmin


Diyana Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ketika hadir ke kampus Universiti Malaysia Kelantan di Bachok hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Mac, 2019

PUTRAJAYA akan membayar keseluruhan royalti minyak yang dituntut Kelantan apabila kerajaan negeri itu menarik balik saman bagi bayaran itu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Namun Kelantan sudahpun mendapat sebahagian daripada bayaran tersebut, katanya yang enggan mendedahkan jumlah bayaran tersebut.

“Kita telah tunaikan janji bahawa royalti minyak akan dibayar terus kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan Terengganu sudah dapat sepenuhnya dan Kelantan kita baru bayar sebahagian hanya kerana isu pertikaian di mahkamah.

“Namun dalam perbincangan bersama menteri besar petang ini kerajaan negeri akan mulakan prosiding menarik balik saman tersebut,” katanya di Kelantan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas berucap dalam dialog kampus Universiti Malaysia Kelantan di Bachok hari ini.

Kerajaan Kelantan pada tahun lalu mengumumkan untuk menarik balik saman tersebut selepas menerima komitmen Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Kelantan akan menerima bayaran royalti.

Kerajaan negeri memfailkan saman itu pada 2011. Kerajaan negeri itu diwakili peguam Tommy Thomas yang kini menjadi peguam negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Azmin turut mengumumkan beberapa projek pembangunan untuk negeri Kelantan, termasuk pembinaan pakej ketiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT3).

Katanya, projek yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur itu bukti bahawa Pakatan Harapan tidak akan membiarkan rakyat Kelantan menjadi mangsa politik.

Pada masa sama beliau turut menyeru kerajaan negeri untuk berkerjasama dengan pusat demi pembangunan Kelantan.

“Kalau kita yakin demokrasi kita mengakui demokrasi kerajaan negeri patutnya ada tanggungjawab dan kerajaan pusat ada tanggungjawab kepada kerajaan negeri dan akhirnya dapat manfaat adalah rakyat.” – 7 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen