Umno jelas kerjasama dengan PAS pada BN esok


SM Amin

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata langkah itu merupakan salah satu strategi untuk memperkasakan parti.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Mac, 2019

UMNO akan menjelaskan strategi kerjasama dengan PAS semasa mesyuarat Barisan Nasional (BN) pada Jumaat, kata timbalan presidennya Mohamad Hasan.

Langkah itu bagi memujuk rakan komponennya yang masih tidak bersetuju dengan kerjasama itu.

“Esok pagi akan ada mesyuarat Barisan Nasional dan saya akan bentangkan apa yang dibuat oleh Umno supaya dapat diterima diperingkat rakan-rakan Barisan Nasional.

“Dan jika ini dapat diterima, boleh jadi esok bukan Umno-PAS dan lain-lain, tetapi BN-PAS dan lain-lain. Kita kena buat ikut tertib dahululah. Ini adalah salah satu strategi untuk memperkasakan parti,” katanya.

Tambah beliau, MIC sudah menyatakan persetujuan tetapi MCA masih menentang kerjasama berkenaan, dan berharap parti tersebut berubah sikap selepas penjelasannya.

“MCA juga saya rasa tidak akan mempunyai apa-apa halangan,” ujarnya.

Jelasnya, Umno bertindak mengadakan mesyuarat dengan PAS terlebih dahulu untuk mengukuh partinya itu terlebih dahulu.

Ia selari dengan saranan kepada rakan-rakan komponen BN supaya memperkukuhkan parti masing-masing, katanya.

Umno menjalin hubungan rasmi dengan PAS pada Selasa dengan membentuk jawatankuasa teknikal bagi kerjasama kedua-dua parti, terutama dalam menghadapi pilihan raya.

Ia susulan daripada kejayaan kerjasama kempen kedua-dua parti dalam dua pilihan raya kecil, di kerusi DUN Semenyih dan Parlimen Cameron Highlands. – 7 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen