MCA dan MIC tidak berniat untuk meninggalkan Barisan Nasional, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas presiden hari ini.
Beliau yakin parti berasaskan etnik Cina dan India itu tidak akan meninggalkan BN berikutan masalah mereka dengan Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz.
“Saya tidak rasa mereka mahu tinggalkan BN, mereka hanya bimbang dengan beberapa isu; bagaimanapun mereka lebih sayangkan BN,” kata Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.
MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama awal minggu ini berkata mereka akan mencari pilihan politik lain, sekali gus menjawab desas-desus mereka akan meninggalkan gabungan itu.
Mereka menyatakan rasa tidak puas hati dengan Nazri yang didakwa membuat kenyataan rasis ketika berkempen pada piihan raya kecil Semenyih baru-baru ini.
Kenyataan Nazri, yang mewakili Umno, dan kegagalan parti untuk menangani mereka, telah melanggar kesatuan parti komponen BN, kata mereka.
BN kini hanya mempunyai tiga parti - Umno, MCA dan MIC - berbanding 13 ketika gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 Mei lalu.
Di Semenyih, Nazri mengkritik kerajaan Pakatan Harapan berhubung pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara, ketua hakim dan menteri kewangan.
Beliau juga berkata, masyarakat bukan Melayu tidak sepatutnya mempersoalkan keistimewaan Melayu kerana masyarakat bukan Melayu juga akan keistimewaan seperti sekolah vernakular.
Berikutan kerjasama PAS dan Umno secara rasmi dua hari lalu, Nazri juga berkata semangat pelbagai budaya BN sudah mati.
MCA mula menyuarakan idea untuk menggesa pembubaran BN pada perhimpunan agung tahunannya pada Disember lalu yang mana perwakilan meluluskan resolusi berhubung pendirian itu.
Kepimpinan MCA kemudian menulis surat kepada Majlis Tertinggi BN, meminta mesyuarat diadakan bagi membincangkan resolusinya.
Hingga kini mesyuarat berkenaan masih belum diadakan. – 7 Mac, 2019
Komen