SERAMAI 18 orang cedera apabila sebuah bom tangan meletup di perhentian bas di bandaraya Jammu di India hari ini, kata polis.
“Difahamkan bom tangan itu dilepaskan dari luar premis di bawah bas menyebabkan 18 orang cedera,” kata pegawai polis MK Sinha kepada wartawan.
Ledakan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan di antara India dan Pakistan selepas 40 tentera India terbunuh pada 14 Februari lalu.
“Bom tangan itu dilemparkan oleh orang yang tidak dikenali di bawah bas di terminal utama.
“Bas itu difahamkan dalam perjalanan ke bandar Pathankot di Punjab. Empat orang dilaporkan kritikal,” kata pegawai polis kepada AFP.
Pembunuhan beramai-ramai pada 14 Februari lalu terhadap tentera India adalah serangan paling dahsyat berlaku di Kashmir dalam pemberontakan 30 tahun oleh militant yang menuntut kemerdekaan dan mahu menjadi sebahagian dari Pakistan.
India sudah lama menuduh Islamabad menyokong pemberontak dan serangan itu didakwa dilakukan oleh Jaish-e-Mohammed (JeM) sebuah kumpulan militant berpangkalan di Pakistan. – AFP, 7 Mac, 2019.
Komen