PULAU peranginan Bali di Indonesia senyap hari ini sempena festival tahunan Hari Nyepi, dengan penerbangan ditangguhkan, begitu juga Internet dan lokasi tarikan pelancong turut ditutup bagi memberi laluan kepada meditasi berlangsung.
Penganut Hindu di pulau itu dijangka berkurung di rumah selama 24 jam dan bermuhasabah diri.
Kalangan bukan Hindu dan pelancong juga diminta turut serta menghormati festival itu dengan berada di dalam rumah atau hotel.
Kereta dan motosikal tidak dibenarkan berada di jalanan di Bali kecuali jika kecemasan sepanjang 24 jam berlangsungnya Hari Nyepi dan lampu di dalam rumah dan di jalanan perlu dimatikan, dan kawasan tarikan pelancong serta pusat beli-belah akan ditutup.
Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai berkata ia akan ditutup 24 jam bermula 6 pagi tadi, menjejaskan 468 penerbangan termasuk 207 antarabangsa.
Kerajaan tempatan mengarahkan penyedia Internet menghentikan perkhidmatan selama sehari kecuali untuk khidmat awam.
“Kami harap pelancong menghormati tradisi ini dan turut serta dengan tidak keluar dari hotel,” kata ketua persatuan pelancongan Bali, I Ketut Ardana.
“Nyepi salah satu tarikan paling unik di Bali, pelancong datang untuk merasai pengalamannya.”
Semalam, sehari sebelum Nyepi, pulau itu mengadakan acara keagamaan bertujuan melawan syaitan dan semangat jahat.
Dalam perarakan itu, patung pelbagai warna dikenali sebagai Ogoh-Ogoh diarak di jalanan sebelum dibakar, sebagai tanda pembaharuan dan penyucian.
Indonesia ialah negara majoriti beragama Islam tetapi lebih 80% populasi Bali beragama Hindu dan mengamalkan versi tempatan agama itu. – AFP, 7 Mac, 2019.
Komen