Mengapa MCA tak kecam Umno dan PAS juga, kata Guan Eng


Bede Hong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng jadi tumpuan hari ini selepas kenyataan 'perangnya' semalam mencetuskan bantahan MCA. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Mac, 2019.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng mengetepikan kritikan dilontarkan terhadapnya oleh MCA tentang kenyataannya semalam berkenaan kerjasama Umno-PAS.

Menyifatkan MCA sebagai hipokrit, Lim mempersoalkan mengapa Presiden MCA Dr Wee Ka Siong tidak menyelar Umno dan PAS yang juga sering mengeluarkan kenyataan menyinggung.

Beliau mengulas kenyataan Wee yang mahukan tindakan polis diambil ke atas Lim kerana menggambarkan perpaduan Umno-PAS sebagai “pengisytiharan perang” terhadap bukan Melayu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP, bagaimana pun sudah membetulkan kenyataan tersebut, dengan membuang perkataan yang kontroversi itu.

“Sila baca kenyataan yang dah dibetulkan. Pada masa sama, apabila kenyataan seperti ini datang daripada MCA, ia bukanlah pelik sangat kerana mereka pembangkang,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

“Sudah tentu mereka akan minta tindakan diambil ke atas musuh mereka tetapi bila sampai kepada PAS dan Umno, mereka tak buat apa-apa. Ini politik.

“Saya juga mahu mempersoalkan MCA mengapa mereka berdiam diri bila PAS atau Umno menyerang kami (kerajaan) kerana memperuntukkan dana untuk sekolah vernakular.

“Saya mahu mempersoalkan apabila MCA menyerang saya bila kerajaan meluluskan pembiayaan untuk sekolah agama Islam.”

Wee, dalam kenyataan di Facebook malam tadi mendesak Lim bertanggungjawab sekiranya kenyataan “perang” seperti dilapor Malaysiakini mencetuskan kekecohan.

“Kenyataan Guan Eng ini langsung tidak boleh diterima dan beliau harus dipertanggungjawabkan di atas hasutan yang menjurus kepada kebencian antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara,” katanya.

Wee turut memuatnaik gambar artikel tersebut, yang bertajuk Lim calls Umno-PAS union a declaration of ‘war’ on non-Malays”.

Malaysiakini bagaimanapun sudah meminda tajuk berita tersebut, yang kini berbunyi Lim warns Umno-PAS union will target non-Malays”.

Nota pengarang yang diletakkan di bawah artikel tersebut menyatakan: “Lim membetulkan kenyataan awam yang pada asalnya menggunakan perkaraan ‘pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu’.”

Kenyataan “perang” Lim itu dikeluarkan susulan pembentukan jawatankuasa teknikal antara PAS dan Umno untuk mengkaji kerjasama politik lebih erat di masa depan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Abdul Aziz berkata yang semangat kepelbagaian budaya BN berakhir dengan keputusan PAS dan Umno bekerjsama.

Pada masa sama, MCA dan MIC juga mengumumkan mereka akan meneroka peluang kerjasama politik di luar BN, walaupun tidak mengumumkan akan keluar pakatan politik paling lama negara itu. – 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen