Putrajaya harap rundingan ECRL selesai bulan depan


Bede Hong

Kami berharap perbincangan ini dapat dijalankan secepat mungkin, harapnya ketika waktu perdana menteri melawat China pada hujung April depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Mac, 2019.

KERAJAAN berhadap rundingan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan China dapat diselesaikan menjelang bulan depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata beliau teruja dengan kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu, yang Malaysia akan meneruskan projek ECRL dengan China hanya jika kos pembinaan itu dikurangkan dengan signifikan. 

“Saya mahu mengambil peluang ini untuk menyatakan sokongan kepada kenyataan perdana menteri tentang pengurangan harga projek yang diperlukan supaya kita boleh mencapai persetujuan meneruskan projek itu,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya rasa perdana menteri sudah sebut yang kerana harga tinggi, kita tak mampu teruskan projek itu. Tetapi, saya fikir kerajaan China sudah menawarkan pengurangan dan kita berharap perbincangan ini akan membolehkan kita mencapai penyelesaian.

“Kami berharap perbincangan ini dapat dijalankan secepat mungkin, harapnya ketika waktu perdana menteri melawat China pada hujung April depan.”

Dr Mahathir sebelum ini berkata Malaysia perlu mengambil masa 30 tahun untuk membayar pinjaman ECRL yang berharga lebih RM55 bilion.

“Kita akan terbeban dengan faedah yang banyak, yang akhirnya akan berjumlah sehingga RM140 bilion,” katanya di Klang.

“Jika harga sesuai kita akan teruskan, tetapi buat masa sekarang kita masih belum capai persetujuan tentang harga.”

Perdana menteri kali terakhir melawat China pada Ogos tahun lepas, bertemu Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang.

Lawatan Dr Mahathir ke China April ini akan memberikan tumpuan kepada inisiatif China, “One Belt, One Road” yang mahu meningkatkan perhubungan pelbagai negara di benua Asia, Afrika dan Eropah. – 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen